Aksi ‘superman’: Dua penunggang ditahan, 14 motosikal disita

Facebook
WhatsApp
SEBANYAK 14 motosikal disita manakala dua penunggang ditahan kerana disyaki melakukan aksi berbahaya 'superman' dalam Operasi Motosikal Samseng Jalanan di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, awal pagi tadi.

SIBU: Sebanyak 14 motosikal disita manakala dua penunggang ditahan kerana disyaki melakukan aksi berbahaya ‘superman’ dalam Operasi Motosikal Samseng Jalanan di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, dua penunggang terbabit disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana disyaki menunggang secara melulu dan berbahaya.

“Kedua-dua penunggang dipercayai melakukan aksi berbahaya atau ‘superman’ serta menduga kelajuan di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce.

“Tindakan sedemikian bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain,” jelasnya dalam kenyataan, hari ini.

SEBANYAK 27 motosikal dan 31 individu diperiksa, dengan 72 keping saman PDRM (K) 257 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta kaedah lalu lintas yang berkuat kuasa

Selain itu, katanya, 12 motosikal lagi telah disita untuk siasatan di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana disyaki melakukan pengubahsuaian yang

tidak mematuhi peruntukan undang-undang.

Menurutnya, operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu itu bermula 10.00 malam hingga 3.45 pagi.

Katanya, operasi berkenaan membabitkan 19 pegawai dan anggota daripada BSPTD, Unit MPV, Unit Rondaan Bermotosikal (URB) serta Balai Polis Lanang.

“Tumpuan operasi adalah di sekitar Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce dan Jalan Awang Ramli Amit, yang dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan aktiviti samseng jalanan.

KELIHATAN sekumpulan penunggang motosikal berkumpul di Lorong Sentosa Utara 1A.

“Sepanjang operasi, sebanyak 27 motosikal dan 31 individu diperiksa, dengan 72 keping saman PDRM (K) 257 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta kaedah lalu lintas yang berkuat kuasa,” ujarnya.

Beliau berkata, antara kesalahan yang paling banyak dikesan termasuk pengubahsuaian ekzos, tiada cermin sisi, tiada nombor pendaftaran, tiada lesen memandu, struktur kenderaan tidak mengikut spesifikasi, brek tidak berfungsi, tayar botak dan lesen kenderaan motor tamat tempoh.

Abang Zainal menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius kegiatan samseng jalanan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melakukan aksi berbahaya di jalan raya.

“Tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai khususnya ibu bapa disaran supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak serta memastikan mereka tidak terlibat dalam aktiviti samseng jalanan yang bukan sahaja menyalahi undang-undang malah boleh mengakibatkan kehilangan nyawa.

Oleh Akun Giman