BINTULU: Pesta Tumbina terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara acara tahunan utama di Bintulu apabila berjaya menarik puluhan ribu pengunjung setiap tahun, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan sektor pelancongan rekreasi dan ekonomi tempatan.
Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Dato Haidar Khan Asghar Khan berkata, kejayaan festival itu melengkapkan siri tiga acara tahunan utama anjuran BDA, iaitu Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo (BIKF), Maraton Bintulu dan Pesta Tumbina.
Menurutnya, Maraton Bintulu yang memasuki penganjuran tahun keempat berjaya menghimpunkan lebih 10,400 peserta, selain menerima maklum balas positif sehingga disifatkan sebagai antara acara maraton terbaik di Sarawak.

“Pada minggu lepas, kita telah mengadakan Maraton Bintulu 2026 yang merupakan penganjuran tahun keempat dengan penyertaan melebihi 10,400 orang.”
“Saya berasa bangga sebab kalau kita melihat daripada maklum balas di dalam media sosial dan lain-lain, rata-rata komen adalah positif dan ramai yang menyatakan bahawa Maraton Bintulu adalah yang terbaik di Sarawak,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pesta Tumbina 2026 di Taman Tumbina Bintulu di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, Pesta Tumbina turut mencatat peningkatan kehadiran yang memberangsangkan sejak diperkenalkan empat tahun lalu, daripada kurang 10,000 pengunjung kepada hampir 60,000 pengunjung pada tahun lepas.
“Untuk makluman, Pesta Tumbina bermula empat tahun lalu dengan jumlah pengunjung kurang daripada 10,000 orang.

“Pada tahun berikutnya, jumlah itu meningkat kepada sekitar15,000 orang sebelum melonjak kepada hampir 60,000 pengunjung pada 2025.
“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak Tumbina atas usaha gigih memastikan Pesta Tumbina berjaya, bukan sahaja dari segi penganjuran, malah sambutan orang ramai.
“Insya-Allah, jika cuaca mengizinkan, saya yakin rekod itu akan kita pecahkan pada tahun ini,” ujarnya.
Beliau berkata, BDA menyasarkan kehadiran antara 55,000 hingga 65,000 pengunjung sepanjang Pesta Tumbina 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini menerusi pelbagai aktiviti berteraskan rekreasi, pendidikan dan pembangunan mampan.
Haidar turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan kolaborasi, khususnya Lembaga Pelabuhan Bintulu yang terus menjadi rakan strategik utama dalam menjayakan Pesta Tumbina sejak tiga tahun lalu.
Oleh Carolyne Utih





