SARATOK: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik memberi jaminan penuh dan komitmen berterusan untuk membantu sekolah-sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian demi memastikan kelangsungan aktiviti pembelajaran serta kokurikulum murid-murid terjamin.
Beliau menegaskan bahawa aspek pembangunan fizikal dan penyediaan bantuan dana institusi pendidikan sentiasa menjadi antara agenda keutamaan dalam perancangan pembangunan kawasan yang diwakilinya.
Jaminan tersebut dinyatakan semasa beliau menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Guru Besar Malaysia (PGBM) Cawangan Saratok yang diketuai oleh Pengerusinya, Wong Poh Tien, di Pejabat Pusat Khidmat ADUN Krian, di sini kelmarin.
Sesi perjumpaan rasmi berkenaan bertujuan untuk memperlihatkan sinergi erat antara pimpinan wakil rakyat tempatan dengan warga pendidik dalam usaha menaik taraf mutu pendidikan di daerah ini.
Dalam perjumpaan tersebut, Friday telah diberikan taklimat komprehensif mengenai latar belakang organisasi, peranan, visi serta hala tuju PGBM khasnya dalam memperkasakan pembangunan pendidikan di Daerah Saratok secara keseluruhan.
Sesi dialog yang berlangsung secara produktif itu turut menjadi platform penting bagi kedua-dua pihak untuk bertukar-tukar pandangan serta membincangkan pelbagai isu tempatan yang dihadapi oleh persatuan dan sekolah-sekolah di kawasan Saratok.
Mengulas lanjut mengenai usaha memperkasakan sektor berkenaan, Friday mengesahkan bahawa bantuan kewangan secara berstruktur telah dilaksana dan disalurkan secara konsisten sejak beberapa tahun lepas.
“Untuk makluman, setiap tahun sejak 2022 saya telah mengagihkan RM1 juta daripada Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) saya khusus untuk membantu sekolah-sekolah di dalam DUN Krian,” kata beliau.
Peruntukan tahunan tersebut merangkumi pelbagai skop bantuan, termasuklah pembaikan infrastruktur fizikal sekolah, penyediaan kemudahan asas pembelajaran, serta sokongan program akademik dan kokurikulum pelajar.
Delegasi lawatan tersebut menyaksikan Wong Poh Tien turut diiringi oleh 10 orang Guru Besar yang merupakan Pegawai Tadbir PGBM mewakili zon Roban, Kabong, dan Krian.
Oleh Adi Safarman





