MIRI: Sarawak menyasarkan untuk meningkatkan tahap sara diri bekalan beras kepada sekurang-kurangnya 60 peratus menerusi pembangunan padi saka (perennial), sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap import beras.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kejayaan projek yang dijalankan melalui kerjasama Borneo Paddy, Universiti Yunnan dan agensi kerajaan negeri membuktikan teknologi moden mampu membolehkan padi ditanam di kawasan tanah gambut yang sebelum ini dianggap kurang sesuai untuk tanaman tersebut.
Beliau berkata projek perintis hasil itu telah membuktikan padi saka mampu dituai dalam tempoh kira-kira tiga bulan, sebelum mengeluarkan tunas baharu untuk musim berikutnya.

“Ini adalah spesies padi pertama yang tidak perlu ditanam semula selepas dituai.
“Ia akan terus tumbuh semula dan menghasilkan tuaian berikutnya, sekali gus mengurangkan kos pengeluaran,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan tuaian pertama padi berkenaan di Kuala Baram di sini hari ini.
Menurut Abang Johari, projek itu berjaya mencatatkan hasil sehingga 14.5 tan metrik sehektar, selain menghasilkan beras yang mempunyai kandungan kanji dan gula lebih rendah, menjadikannya pilihan yang lebih sihat untuk pengguna.
Bagi memperkukuh penyelidikan, kerajaan Sarawak akan bekerjasama dengan Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah serta rakan penyelidik bagi menubuhkan sebuah pusat penyelidikan padi di kawasan seluas kira-kira 34 hektar, selain memperuntukkan sehingga 50 hektar lagi untuk menguji pelbagai varieti padi.

Beliau berkata ketika ini Sarawak hanya mampu memenuhi kira-kira 21 peratus keperluan beras melalui pengeluaran tempatan, namun teknologi baharu itu diyakini mampu meningkatkan pengeluaran sehingga mencapai sasaran sara diri 60 peratus.
Katanya, kawasan tanah gambut di Limbang, Gedong, Lingga, Daro dan Jemoreng dikenal pasti berpotensi untuk dibangunkan sebagai kawasan pengeluaran padi berskala besar.
Oleh Liong Chai Ling




