JPJ Sarawak semarak semangat patriotisme sempena Bulan Kemerdekaan

Facebook
WhatsApp
SIMBOLIK…Sambutan Bulan Kemerdekaan JPJ Sarawak 2026 disempurnakan oleh Norizan Jili (kanan) di Kuching, hari ini. Foto JPJ Sarawak

KUCHING: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan warganya menerusi Majlis Sambutan Bulan Kemerdekaan 2026 yang berlangsung di ibu pejabat jabatan itu, di sini, hari ini.

Majlis tersebut dimulakan dengan acara pelepasan (flag-off) kenderaan penguat kuasa sebagai simbolik pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan JPJ Sarawak yang disempurnakan oleh Pengarah JPJ Sarawak, Norizan Jili.

Turut hadir Timbalan Pengarah JPJ Sarawak, Mohd Faizal David Jemat, bersama ketua-ketua bahagian dan ketua-ketua cawangan JPJ Sarawak.

Penganjuran program itu mencerminkan komitmen berterusan JPJ Sarawak dalam memupuk semangat cintakan negara, memperkukuh perpaduan serta menghayati nilai kemerdekaan sebagai teras pembentukan perkhidmatan awam yang berintegriti, berdisiplin dan berjiwa patriotik.

Pada masa sama, seluruh warga JPJ Sarawak digesa supaya terus menghayati makna kemerdekaan dengan memperkukuh jati diri, memupuk semangat kebersamaan serta melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan penuh dedikasi, profesionalisme dan integriti.

Semangat Bulan Kebangsaan yang disemarakkan itu diharapkan menjadi pemangkin kepada kecemerlangan organisasi dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, di samping menyumbang kepada pembangunan Sarawak dan kemakmuran negara.