Igan, Pusat Perkhidmatan Matu pacu pertumbuhan ekonomi luar bandar

Facebook
WhatsApp
JUANDA TINJAU PROJEK... Datuk Dr Juanda Jaya mengadakan lawatan pemantauan ke Projek Igan Pusat Perkhidmatan Igan dan Pusat Perkhidmatan Matu bagi meninjau kemajuan pelaksanaan kedua-dua projek pembangunan tersebut, semalam. Foto ADUN Jemoreng

MATU: Dua projek pembangunan strategik, Pusat Perkhidmatan Igan dan Pusat Perkhidmatan Matu, yang sedang dibangunkan dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi luar bandar menerusi penyediaan pusat perniagaan yang moden, tersusun dan kondusif.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya berkata, kedua-dua projek itu merupakan antara inisiatif kerajaan Sarawak untuk memperkukuh pembangunan luar bandar serta membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan mengembangkan perniagaan.

Menurut beliau, penyediaan kemudahan tersebut bukan sahaja mewujudkan lebih banyak peluang keusahawanan dan pekerjaan, malah dijangka merangsang pertumbuhan ekonomi setempat melalui peningkatan aktiviti perdagangan, perkhidmatan serta perusahaan kecil.

“Projek ini diharapkan dapat menjadi pusat tumpuan masyarakat, di samping merangsang pembangunan kawasan sekitar dan meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk selaras dengan agenda pembangunan inklusif kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya.

JUANDA TINJAU PROJEK… Datuk Dr Juanda Jaya mengadakan lawatan pemantauan ke Projek Igan Pusat Perkhidmatan Igan dan Pusat Perkhidmatan Matu bagi meninjau kemajuan pelaksanaan kedua-dua projek pembangunan tersebut, semalam. Foto ADUN Jemoreng

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan pemantauan ke Projek Igan Pusat Perkhidmatan Igan dan Pusat Perkhidmatan Matu, semalam.

Di Igan, kerja-kerja penyediaan tanah telah siap sepenuhnya. Ketika ini, proses pemantauan beban pramuatan sedang dijalankan bagi menilai tahap mendapan tanah sebelum projek diteruskan ke fasa pembinaan seterusnya.

Menurutnya, proses tersebut penting bagi memastikan struktur yang bakal dibina kukuh, stabil, selamat dan berkualiti.

Sementara itu, di Matu projek berkenaan telah mencapai kemajuan fizikal sebanyak 97 peratus. Kerja-kerja melengkapkan kemudahan dan fasiliti sedang giat dilaksanakan, manakala bangunan medan selera telah siap sepenuhnya dan dijangka mula beroperasi pada Oktober ini.

Bagi memastikan premis tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya, Majlis Daerah Matu dan Daro (MDMD) akan mengadakan sesi temu duga dalam masa terdekat bagi memilih peniaga yang telah mengemukakan permohonan untuk menjalankan perniagaan di medan selera berkenaan.

Turut hadir, Jurutera Bahagian Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Mukah, Ts Awang Dasuki Awang Dol, serta Pegawai Daerah Matu, Hamidah Halpi.

Oleh AKUN GIMAN