RIMUP semarak perpaduan, sekolah dan komuniti di rumah panjang

Facebook
WhatsApp
WARGA sekolah bersama komuniti Rumah Panjang Billy.

RUMAH panjang adalah antara khazanah sosial dan budaya yang cukup istimewa dalam landskap kehidupan masyarakat Sarawak.

Lebih daripada sekadar deretan ruang kediaman yang berkongsi satu struktur, rumah panjang sejak sekian lama menjadi tempat bernaung, bermuafakat dan membina kehidupan secara bersama.

Rumah panjang bukan sahaja penting dari sudut warisan budaya, malah turut mempunyai potensi besar sebagai ruang pembelajaran sosial kepada generasi muda.

Atas kesedaran bahawa sekolah dan komuniti merupakan dua entiti yang saling melengkapi dalam proses pembentukan generasi masa hadapan, satu program telah dilaksanakan oleh Sekolah Kebangsaan Nanga Penyarai yang menggabungkan elemen pendidikan, perpaduan, kebudayaan dan kemasyarakatan.

JUADAH yang dihidangkan oleh komuniti.

Program Rancangan Integrasi Murid untuk Perpaduan (RIMUP) merupakan satu inisiatif Kementerian Pendidikan (KPM) bertujuan untuk memperkukuh perpaduan, integrasi dan hubungan sosial dalam kalangan murid melalui penglibatan bersama sekolah dan komuniti.

RIMUP bukan sahaja sekadar program untuk menghimpunkan murid malah matlamatnya adalah lebih besar. RIMUP adalah satu program untuk membina pengalaman hidup bersama dalam kepelbagaian dan membentuk murid yang mempunyai nilai kemasyarakatan serta rasa tanggungjawab terhadap masyarakat.

Setiap tahun, satu rumah panjang akan dipilih oleh pihak sekolah untuk melaksanakan program RIMUP di sana. Pada 2026, Rumah Panjang Billy telah dipilih dalam usaha memupuk perpaduan antara pihak sekolah dan komuniti setempat.

Program tersebut telah menjadi wadah kepada warga sekolah dan komuniti untuk berinteraksi dalam suasana yang lebih dekat dan terbuka.

PERLAKSANAAN program DWEN Rumah Panjang Billy.

Pelaksanaan RIMUP di Rumah Panjang Billy ini turut memperlihatkan bahawa usaha memupuk perpaduan tidak semestinya berlaku dalam lingkungan sekolah semata-mata. Sebaliknya, pengalaman bersama komuniti dapat memberikan ruang kepada murid untuk mengenali kepelbagaian budaya, memahami nilai kehidupan bermasyarakat dan membina hubungan yang lebih erat dengan masyarakat sekeliling.

Perjalanan menuju ke Rumah Panjang Billy sendiri menjadi sebahagian daripada pengalaman program apabila rombongan warga sekolah perlu melalui jalan off-road selama hampir 40 minit dari sekolah.

Laluan yang mencabar itu bagaimanapun tidak mematahkan semangat warga sekolah, malah perjalanan itu memberikan pengalaman tersendiri sebelum mereka tiba di destinasi.

Setibanya di sana, rombongan SK Nanga Penyarai disambut meriah oleh warga rumah panjang. Suasana mesra dan penuh kemesraan itu segera menghilangkan rasa kepenatan perjalanan sekali gus memperlihatkan keakraban hubungan antara pihak sekolah dengan komuniti setempat.

Tuai Rumah Billy anak Beching mengalu-alukan kedatangan warga sekolah di hadapan gerbang yang dibina khas oleh komuniti di sana. Lebih bermakna, warga sekolah turut dijamu dengan sarapan yang disediakan oleh komuniti rumah panjang.

Pelbagai juadah tradisional dihidangkan di meja panjang, menjadikan sarapan tersebut bukan sekadar jamuan tetapi satu pengalaman yang menggambarkan budaya menerima tetamu dan semangat berkongsi yang begitu sinonim dengan kehidupan di rumah panjang.

BARISAN guru SK Nanga Penyarai.

Pelaksanaan RIMUP di Rumah Panjang Billy turut diserikan dengan pelaksanaan Program Imersif Tinggi (HIP), Program Dasar Warga Emas Negara (DWEN) dan Ziarah Cakna.

Dalam program HIP, aktiviti stesen bahasa Inggeris telah dilaksanakan bagi memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih menyeronokkan dan bermakna kepada murid.

Enam stesen bahasa Inggeris telah dilaksanakan iaitu Swimming Verbs In The Bottle, Stationeries Touch and Grab, Catch The Numbers, Prepo Pupils and Box, Feelings Colour Story and Touch dan Scrambled Sentences.

Aktiviti ini bukan sahaja memberikan peluang kepada murid untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam situasi sebenar, malah mewujudkan interaksi dan kerjasama antara murid melalui pembelajaran secara tidak formal.

Pada masa sama, pengisian DWEN memberikan dimensi kemasyarakatan yang lebih jelas apabila sumbangan disampaikan kepada warga emas.

Inisiatif tersebut bukan sekadar menyampaikan bantuan, tetapi menjadi simbol keprihatinan dan penghargaan generasi muda terhadap golongan yang lebih berusia.

AKTIVITI HIP.

Dalam kesibukan dunia yang semakin pantas, perhatian kepada golongan berusia mengingatkan generasi muda bahawa kemajuan tidak seharusnya menyebabkan masyarakat melupakan mereka yang telah banyak menyumbang kepada keluarga dan komuniti.

Inisiatif perlaksanaan DWEN ini membawa mesej bahawa pembangunan pendidikan perlu bergerak seiring dengan pembentukan nilai kemanusiaan. Murid bukan sahaja dididik untuk mencapai kecemerlangan akademik, malah turut dibimbing agar mempunyai rasa empati, hormat dan keprihatinan terhadap anggota masyarakat.

Ziarah Cakna pula menjadi satu lagi pengisian yang memperkukuh hubungan antara sekolah dengan komuniti. Kunjungan tersebut memberikan ruang kepada warga sekolah untuk mengenali kehidupan masyarakat dengan lebih dekat serta menyampaikan sokongan dan perhatian kepada mereka yang memerlukan.

Ziarah ini bukan sekadar kunjungan tetapi tanda bahawa sekolah mengambil berat tentang keadaan masyarakat di sekelilingnya. Dalam pertemuan yang sederhana, lahir rasa empati, hormat dan keprihatinan.

Lebih penting lagi, penglibatan murid dalam aktiviti kemasyarakatan ini sudah pasti dapat membantu mereka memahami bahawa perpaduan tidak hanya terbina melalui slogan atau program rasmi, sebaliknya lahir daripada interaksi, sikap saling menghormati dan kesediaan untuk berkongsi pengalaman dengan masyarakat.

Program RIMUP di rumah panjang ini telah membuktikan bahawa hubungan antara sekolah dengan komuniti perlu terus diperkasa.

SUMBANGAN beras daripada komuniti kepada warga sekolah.

Sekolah Kebangsaan Nanga Penyarai telah menyambut baik perlaksanaan dasar-dasar kerajaan yang memberikan impak positif bukan sahaja kepada warga sekolah, murid serta komuniti dalam usaha menyemarakkan perpaduan antara satu sama lain.

Dalam suasana masyarakat Sarawak yang terkenal dengan semangat hidup bersama dan budaya saling membantu, program sebegini wajar diteruskan dan diperluas.

Rumah panjang bukan sahaja dapat menjadi lokasi perlaksanaan aktiviti, malah boleh dimanfaatkan sebagai ruang pembelajaran autentik yang memperkenalkan murid kepada warisan, budaya dan nilai kemasyarakatan.

Dalam konteks inilah RIMUP memperoleh makna yang lebih besar. Perpaduan tidak mungkin lahir hanya melalui ceramah atau slogan.

Perpaduan perlu dialami sendiri oleh murid. Murid perlu diberi peluang untuk duduk bersama, berbual, bekerjasama, bermain dan belajar dengan komuniti yang mempunyai latar belakang berbeza.

Bagi murid pengalaman seperti inilah yang mempunyai nilai pendidikan lebih jauh dan luas. Mereka belajar bahawa ilmu bukan hanya terkandung dalam buku, manakala pembelajaran tidak terhenti apabila loceng sekolah berbunyi.

Masyarakat juga ialah guru, dan kehidupan ialah sebuah sekolah yang menyediakan pelbagai pelajaran tentang nilai, tanggungjawab serta kemanusiaan.

Apa yang berlaku di Rumah Panjang Billy membuktikan bahawa perpaduan boleh bermula daripada sesuatu yang sederhana. Hanya perlukan sebuah pertemuan, sebuah aktiviti, sebuah kunjungan dan sebuah tangan yang dihulurkan.

Rumah Panjang Billy bukan sekadar menjadi lokasi berlangsungnya aktiviti RIMUP namun menjadi saksi bahawa apabila sekolah dan komuniti melangkah bersama, pendidikan mampu menjadi jambatan perpaduan.

Di sebalik gelak ketawa, aktiviti bahasa, kunjungan dan sumbangan yang berlangsung pada hari tersebut, tersimpan satu mesej yang cukup besar. Perpaduan tidak hanya diajar tetapi perpaduan perlu dirasai, diamalkan dan diwariskan.

Oleh Muhammad Azri Hisyam Farizan. Guru, Sekolah Kebangsaan Nanga Penyarai, Tatau.

Hidup tidak akan sama

KITA sering berharap agar hari esok menjadi sambungan kepada hari ini. Kita mahu kesihatan yang sama, pekerjaan yang sama, keluarga

MBSA adakan lawatan penanda aras ke DBKU

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) hari ini menerima lawatan penanda aras daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang diketuai Penolong