Lima ditahan bantu siasatan kes cubaan curi tular di Batu Kawa

Facebook
WhatsApp
OPERASI polis di RPR Batu Kawa membawa kepada penahanan lima individu yang disyaki terlibat dalam kes cubaan mencuri.

KUCHING: Polis Padawan menahan lima individu, termasuk seorang wanita, bagi membantu siasatan berhubung kes cubaan mencuri yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Barry William berkata, operasi bermula kira-kira 2.15 petang semalam apabila sepasukan polis menyerbu sebuah rumah di RPR Batu Kawa dan menahan tiga lelaki tempatan serta seorang wanita tempatan.

“Susulan maklumat yang diberikan oleh salah seorang suspek, polis melancarkan serbuan kedua di sebuah rumah tanpa nombor di RPR Batu Kawa kira-kira 2.30 petang pada hari sama dan menahan seorang lagi lelaki tempatan,” katanya.

Beliau berkata, kesemua lima suspek yang berusia antara 28 hingga 45 tahun dibawa ke Balai Polis Kota Sentosa untuk siasatan lanjut.

LIMA individu, termasuk seorang wanita, ditahan polis bagi membantu siasatan kes cubaan mencuri yang tular di Batu Kawa.

Hasil siasatan awal mendapati dua daripada suspek mengaku terbabit dalam kes cubaan mencuri yang sedang disiasat.

Menurutnya, seorang daripada mereka turut mengaku terlibat dalam satu lagi kes jenayah yang sebelum ini dilaporkan kepada pihak polis.

Barry berkata, seorang lagi suspek yang merupakan warga Indonesia mengaku berada di negara ini tanpa dokumen pengenalan diri yang sah serta mengaku menyalahgunakan dadah.

Beliau berkata, dua lagi suspek turut mengaku menyalahgunakan dadah dan dirujuk ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan untuk menjalani saringan air kencing.

“Keputusan saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif methamphetamine/amphetamine. Mereka kemudian dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, tiga lagi suspek direman di lokap Balai Polis Tabuan Jaya bagi membantu siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri.

Oleh Connie Chieng