Laluan bas Kuching-Putussibau dijangka perkukuh hubungan Sarawak-Kalimantan

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Lee Kim Shin mendengar penerangan daripada pegawai-pegawai dan agensi berkaitan mengenai operasi di ICQS Lubok Antu semasa lawatan kerja bagi menilai cadangan pembukaan laluan bas rentas sempadan Kuching–Putussibau melalui Lubok Antu–Nanga Badau.

LUBOK ANTU: Cadangan pembukaan laluan bas rentas sempadan yang menghubungkan Kuching dengan Putussibau, Kalimantan Barat melalui pintu masuk Lubok Antu–Nanga Badau dilihat berpotensi memperkukuh kesalinghubungan antara Sarawak dan Indonesia.

Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, laluan berkenaan bukan sahaja memudahkan pergerakan rakyat di kedua-dua wilayah, malah berpotensi merancakkan sektor pelancongan, pelancongan perubatan, perdagangan serta aktiviti ekonomi rentas sempadan.

Menurutnya, Konsul Republik Indonesia di Kuching, Musa Derek Sairwona memaklumkan perjalanan darat dari Putussibau ke Pontianak ketika ini mengambil masa kira-kira 20 jam.

“Bagaimanapun, sekiranya laluan melalui ICQS Lubok Antu–Nanga Badau dan seterusnya ICQS Tebedu–Entikong dimanfaatkan, tempoh perjalanan dijangka dapat dipendekkan lebih daripada separuh, sekali gus menawarkan pilihan perjalanan yang lebih cepat dan efisien kepada pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lubok Antu hari ini bagi meninjau kesiapsiagaan kemudahan serta menilai cadangan pembukaan laluan berkenaan.

Mengulas lanjut, Kementerian Pengangkutan Sarawak turut melihat potensi Kuching untuk berkembang sebagai hab transit serantau yang menghubungkan rangkaian pengangkutan udara dan darat antara Sarawak dengan Indonesia.

“Dengan adanya perkhidmatan penerbangan terus antara Kuching dan Jakarta, serta penyertaan AirBorneo pada masa hadapan, laluan bas rentas sempadan ini akan terus memperkukuh kedudukan Kuching sebagai hab transit serantau yang menghubungkan rangkaian pengangkutan udara dan darat antara Sarawak dan Indonesia.

RAKAMAN gambar kenangan sempena lawatan kerja ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lubok Antu.

“Penumpang dari Indonesia boleh meneruskan perjalanan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching ke pelbagai destinasi, manakala penumpang yang tiba di Kuching juga boleh meneruskan perjalanan ke Kalimantan melalui perkhidmatan bas rentas sempadan.

“Ini akan mewujudkan ekosistem pengangkutan yang lebih bersepadu dan saling melengkapi antara kedua-dua wilayah,” jelasnya.

Tambah beliau, dua syarikat pengendali bas iaitu Biaramas Express dari Sarawak dan DAMRI dari Indonesia telah menyatakan kesiapsiagaan untuk memulakan operasi laluan berkenaan.

“Perkhidmatan itu boleh dilaksanakan serta-merta sebaik sahaja semua kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan diperoleh.

“Bagi merealisasikan hasrat itu, Kementerian Pengangkutan Sarawak akan mengemukakan surat rasmi kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) bagi memohon supaya kelulusan terhadap cadangan laluan bas rentas sempadan tersebut dapat dipercepatkan.

“Semua pihak telah bersedia, justeru kita berharap proses kelulusan dapat disegerakan supaya laluan ini dapat dibuka secepat mungkin demi memberikan kemudahan pengangkutan yang lebih baik kepada rakyat di kedua-dua wilayah,” ujarnya.

Turut menyertai lawatan tersebut ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Dr Jerip Susil, Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Datu Wong Hee Sieng, Konsul Republik Indonesia di Kuching Musa Derek Sairwona, Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh, Ketua Polis Daerah Lubok Antu DSP Pricha Azin, serta tetamu kehormat lain.