Kesatuan ilmu Al-Farabi relevan tangani cabaran dunia kompleks

Facebook
WhatsApp
SIDANG media sempena Majlis Syarahan Peradaban Tokoh Maal Hijrah di Unimas

KOTA SAMARAHAN: Pemikiran tokoh ilmuwan Islam, Al-Farabi mengenai kesatuan ilmu dan hikmah kenegaraan kekal relevan dalam menghadapi cabaran dunia yang semakin kompleks.

Menurut Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar, Al-Farabi merupakan antara tokoh pemikir Islam yang menguasai pelbagai bidang ilmu, sekali gus memperlihatkan pendekatan yang kini dikenali sebagai antara disiplin dan rentas disiplin.

“Al-Farabi menghasilkan lebih daripada 100 karya dalam pelbagai bidang dan dalam istilah zaman sekarang beliau boleh dianggap sebagai sarjana yang mempunyai pengetahuan dalam banyak bidang, bukan hanya satu bidang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media  sempena Syarahan Peradaban Tokoh Maal Hijrah: Kesatuan Ilmu dan Hikmah Kenegaraan serta Ulasan Buku Al-Farabi: Pemikir Sanjungan Timur dan Barat di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), hari ini.

Tambahnya, pendekatan Al-Farabi itu berbeza daripada konsep pengkhususan bidang yang menjadi amalan utama dalam sistem pendidikan moden, namun kini terdapat kecenderungan untuk kembali kepada tradisi ilmu yang menggalakkan penguasaan lebih daripada satu bidang.

PROFESOR Emeritus Datuk Dr Osman Bakar bercakap pada sidang media sempena Majlis Syarahan Peradaban Tokoh Maal Hijrah di Unimas.

“Al-Farabi juga dikenali sebagai tokoh yang menekankan hikmah kenegaraan menerusi pelbagai karya berkaitan politik yang tidak dipisahkan daripada ilmu falsafah kerana bagi beliau, kehidupan kenegaraan yang berkualiti, maju dan progresif memerlukan hikmah.

“Pendekatan kesatuan ilmu yang diketengahkan Al-Farabi turut mempunyai kaitan dengan keperluan membangunkan universiti yang mampu menghasilkan ilmu dan penyelesaian kepada permasalahan semasa melalui interaksi antara pelbagai disiplin,” jelasnya.

Sementara itu, Naib Canselor Unimas, Profesor Dr Ahmad Hata Rasit berkata, pemikiran Al-Farabi mempunyai kaitan rapat dengan usaha universiti untuk memperkukuh pendekatan rentas disiplin dalam pendidikan dan penyelidikan.

“Setiap fakulti dalam universiti tidak seharusnya dilihat secara terpisah kerana ilmu yang diajarkan dalam sesuatu bidang mempunyai hubungan dengan bidang lain.

“Universiti hari ini dalam proses untuk berubah daripada universiti tradisional kepada universiti yang mengutamakan pendekatan rentas disiplin,” ujarnya.

Mengulas lanjut, pendekatan tersebut turut diterapkan dalam pengajian pascasiswazah menerusi galakan penyelia bersama daripada disiplin berbeza kerana masalah global yang kompleks memerlukan penyelesaian secara rentas disiplin selain memanfaatkan perkembangan teknologi.

Untuk rekod, Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar merupakan antara sarjana Islam Malaysia yang dihormati di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, selain kini menerajui UIAM dan menyandang Kursi Al-Ghazali bagi Epistemologi dan Kajian Pembaharuan Ketamadunan di ISTAC-IIUM.

Sepanjang lebih lima dekad dalam dunia akademik, beliau menghasilkan puluhan buku dan ratusan penulisan ilmiah dalam bidang falsafah Islam, sejarah dan falsafah sains, epistemologi, dialog antara tamadun serta pemikiran peradaban, selain pernah berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya, Georgetown University, Universiti Brunei Darussalam dan kini UIAM.

Sumbangan beliau turut menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1448 Hijrah/2026 Masihi pada tahun ini, selain ASEAN Distinguished Scholar Award, Tokoh Cendekiawan Ulung Alam Melayu, Tokoh Ummah serta pengiktirafan sebagai Felo Akademi Sains Malaysia dan tersenarai dalam The Muslim 500 sejak 2009.

Oleh Masrin Affirah

UIAM cadang tubuh kampus di Sarawak

PETRA JAYA: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mencadangkan penubuhan kampusnya di Sarawak sebagai langkah strategik untuk memperkukuh pembangunan modal insan bernilai

FTES bukti komitmen Sarawak perkasa pendidikan

DARO: Pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) membuktikan komitmen kerajaan Sarawak dalam memastikan setiap anak Sarawak yang berkelayakan berpeluang