Transformasi kemudahan sekolah terus dipacu menerusi RTP 2025 di Kota Sentosa

Facebook
WhatsApp
WILFRED Yap menyampaikan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM10,000 kepada pihak SK Mejar Jeneral Dato Ibrahim bagi menyokong program pendidikan, kokurikulum dan pembangunan pelajar.

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap, hari ini mengadakan pemeriksaan akhir serta majlis penyerahan rasmi projek naik taraf dewan di Sekolah Kebangsaan (SK) Mejar Jeneral Dato Ibrahim, Kem Semenggo di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2025.

Beliau yang diiringi pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) meninjau projek Fasa 2 yang telah siap sepenuhnya dengan kos RM300,000 menerusi peruntukan RTP 2025.

Projek berkenaan melibatkan kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf dewan sekolah yang uzur bagi menyediakan persekitaran lebih selamat, selesa dan kondusif untuk kegunaan warga sekolah, termasuk perhimpunan, aktiviti kokurikulum, program sukan serta pelbagai aktiviti lain.

Yap merakamkan penghargaan kepada JKR, pihak kontraktor dan pengurusan sekolah atas kerjasama yang diberikan sehingga projek tersebut berjaya disiapkan mengikut piawaian yang ditetapkan.

“Dewan sekolah bukan sekadar sebuah bangunan, malah merupakan ruang penting untuk pelajar berkumpul, menerapkan nilai-nilai murni, menyertai pelbagai aktiviti serta mencipta kenangan. Dengan menaik taraf kemudahan yang telah uzur ini, kita melabur demi kesejahteraan dan pembangunan anak-anak, di samping menyediakan kemudahan yang lebih baik untuk guru serta warga sekolah,” katanya.

Beliau berkata, siapnya projek berkenaan membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam menaik taraf infrastruktur awam, khususnya kemudahan pendidikan, selain memastikan sekolah mempunyai prasarana yang selamat dan berfungsi dengan baik untuk pelajar serta warga pendidik.

Dalam lawatan tersebut, Yap turut menyampaikan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM10,000 kepada pihak sekolah bagi menyokong pelaksanaan program pendidikan, kokurikulum dan pembangunan pelajar.

Beliau turut menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan pihak sekolah, agensi kerajaan dan komuniti setempat dalam usaha mempertingkatkan infrastruktur pendidikan serta melaksanakan program yang memberi manfaat kepada pelajar.

Oleh Connie Chieng