SARATOK: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Saratok berjaya memusnahkan sarang lebah madu yang ditemui di dinding bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Budu Krian, di sini, hari ini, selepas menerima panggilan kecemasan daripada pihak sekolah.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu, berkata Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) APM Saratok menerima panggilan pada 11.58 pagi daripada pihak sekolah yang sedang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan bangunan sebelum mengesan kewujudan sarang lebah berkenaan.
Beliau berkata, susulan laporan itu, tiga anggota Skuad Charlie digerakkan ke lokasi pada 12.00 tengah hari dan tiba kira-kira 45 minit kemudian selepas menempuh perjalanan sejauh 40 kilometer.
Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati terdapat sebuah sarang lebah madu di dalam dinding bangunan sekolah yang berpotensi mengancam keselamatan warga sekolah sekiranya tidak ditangani segera.
“Ketua skuad terlebih dahulu memastikan dua anggota memakai peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap sebelum operasi pemusnahan dimulakan mengikut prosedur keselamatan yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi yang mengambil masa kira-kira lapan minit itu berjaya memusnahkan sarang lebah menggunakan teknik semburan racun serangga serta pembakaran.
Operasi berkenaan melibatkan anggota Prebet Spencer Nyambar Minggu @ Sijang, Prebet Mohd Khairul Safwan Lawie dan Prebet Ikhtiaruddin Yafiq Ahmad Sufian.
Sepanjang operasi dijalankan, APM turut menggunakan dua set pakaian khas pengendalian lebah, dua topi keselamatan, dua tin racun serangga serta dua pasang sarung tangan.
Leftenan Nur Athirah berkata, tiada sebarang kemalangan atau kecederaan berlaku sepanjang operasi berkenaan dan keadaan berjaya dikawal sepenuhnya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pihak sekolah serta orang ramai supaya sentiasa peka terhadap keadaan persekitaran dan segera menghubungi pihak berkuasa sekiranya mengesan kehadiran sarang lebah atau haiwan berbisa yang boleh mengancam keselamatan.
Oleh Adi Safarman




