KUCHING: Kekurangan jurulatih pembangunan dan elit menjadi antara perkara yang diberi perhatian Persatuan Skuasy Kuching (SAK) dalam usaha memperkukuh ekosistem pembangunan sukan skuasy di Sarawak.
Presiden Persatuan Skuasy Kuching (SAK) yang juga Pengerusi Kejohanan Jemputan Skuasy Kuching 2026, Shaukat Khan berkata, pihaknya memerlukan sokongan penyediaan sekurang-kurangnya dua jurulatih berkualiti bagi membimbing pemain muda serta pasukan elit.
Menurutnya, kewujudan barisan jurulatih yang berpengalaman amat penting bagi memastikan pembangunan pemain dapat dilaksanakan secara tersusun, khususnya dalam melahirkan pelapis baharu yang mampu bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Bagi kami, jurulatih sangat penting. Kita boleh mempunyai pemain dan kemudahan, tetapi tanpa jurulatih yang baik, sukar untuk membangunkan pemain ke tahap lebih tinggi.
“Kita memerlukan seorang jurulatih untuk pasukan elit dan seorang lagi untuk pembangunan pemain akar umbi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran Kejohanan Jemputan Skuasy Kuching 2026 di Kelab Sarawak, hari ini.
Shaukat berkata, ketika ini SAK turut berkongsi khidmat jurulatih dengan kelab lain di kawasan Kuching dan Samarahan berikutan jumlah jurulatih yang terhad.
“Buat masa ini, kita berkongsi jurulatih kerana sumber yang ada terhad. Kita memerlukan jurulatih khusus supaya pembangunan pemain dapat dilakukan dengan lebih tersusun dan berterusan,” tambahnya.
Menurutnya, sebelum ini SAK mempunyai seorang jurulatih pembangunan dan seorang jurulatih rakan latihan, namun kontrak jurulatih pembangunan tersebut tamat pada penghujung 2025 dan sehingga kini masih belum mempunyai pengganti.
Beliau berkata, pihaknya terbuka untuk menerima jurulatih tempatan mahupun luar negara sekiranya ia dapat membantu meningkatkan tahap permainan serta pembangunan pemain skuasy di Sarawak.
Dalam pada itu, isu berkaitan keperluan jurulatih itu sebelum ini telah dibawa kepada pihak berkaitan termasuk Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Majlis Sukan Negara (MSN), selain pihaknya turut mengemukakan permohonan rasmi baru-baru ini bagi mendapatkan sokongan.
“Kita mahu membangunkan sukan ini, tetapi pembangunan tidak boleh bergantung kepada usaha persendirian sahaja.
“Kita memerlukan sokongan untuk memastikan pemain mendapat latihan dan bimbingan yang sewajarnya,” tegasnya.
Menurut Shaukat, pembangunan di peringkat akar umbi amat penting kerana pemain muda hari ini merupakan pelapis kepada pasukan negeri dan negara pada masa hadapan.
Katanya, SAK ketika ini mempunyai kira-kira 60 pemain dan jumlah tersebut berpotensi ditingkatkan kepada 100 pemain sekiranya sokongan dari segi jurulatih, kemudahan dan program pembangunan dapat diperkukuhkan.
“Kita mahu lebih ramai kanak-kanak mula bermain skuasy pada usia muda. Jika asas pembangunan kuat, mereka boleh berkembang daripada peringkat sekolah ke kebangsaan dan seterusnya antarabangsa,” ujarnya.
Beliau berkata, matlamat SAK bukan sekadar melahirkan pemain untuk kejohanan tertentu seperti Sukan Malaysia (Sukma), tetapi membimbing mereka supaya mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.
“Kita mahu pemain pergi lebih jauh selepas Sukma. Kita mahu mereka mempunyai masa depan dalam sukan ini dan berpeluang mewakili negeri serta negara di peringkat antarabangsa,” katanya.
Oleh Adele Rissa





