Regata Sarawak 2026 dicadang di Sibu, pacu pelancongan sukan

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Tiong King Sing merakam kenangan bersama peserta Cabaran Sungai RC Powerboat Antarabangsa Sibu 2026 di Tebingan Sungai Pulau Li Hua di Sibu, semalam.

SIBU: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mencadangkan Cabaran Regata Sarawak dianjurkan di Sibu pada 2027 sebagai usaha memperkukuh kedudukan bandar ini sebagai destinasi pelancongan sukan menerusi penganjuran acara berimpak tinggi.

Menterinya, Dato Sri Tiong King Sing berkata, kejayaan penganjuran Cabaran Sungai RC Powerboat Antarabangsa Sibu 2026 membuktikan Sibu mempunyai potensi dan kemampuan untuk menjadi tuan rumah acara sukan bertaraf antarabangsa.

Menurutnya, penganjuran acara sedemikian secara berterusan penting bagi memastikan Sibu kekal meriah, sekali gus menarik kehadiran lebih ramai peserta serta pelancong dari dalam dan luar negara

“Acara seperti ini bukan sahaja memperkenalkan Sibu kepada masyarakat antarabangsa, malah memberi limpahan ekonomi kepada sektor perhotelan, makanan dan minuman, pengangkutan serta perniagaan tempatan.

“Pada masa sama, budaya dan keunikan Sarawak turut dapat dipromosikan kepada pengunjung luar,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Cabaran Sungai RC Powerboat Antarabangsa Sibu 2026 di Tebingan Sungai Pulau Li Hua di sini, semalam.

Tiong yang juga Ahli Parlimen Bintulu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong berkata, penganjuran Cabaran Regata Sarawak di Sibu perlu dirancang lebih awal bagi memastikan segala persiapan dapat dilaksanakan dengan teratur.

Katanya, perancangan awal bukan sahaja penting dari aspek pengurusan dan penganjuran, malah memberi ruang kepada peserta membuat persediaan serta menjalani latihan secukupnya sebelum pertandingan.

Sehubungan itu, beliau mahu Pejabat Residen Bahagian Sibu bersama agensi berkaitan memulakan perancangan dengan menjadikan kejayaan penganjuran Regata Bintulu sebagai antara rujukan.

“Jika boleh, mari kita anjurkan Cabaran Regata Sarawak pada 2027. Dengan perancangan yang rapi dan kerjasama semua pihak, saya yakin kita mampu menjayakannya,” katanya.

Sementara itu, Cabaran Sungai RC Powerboat Antarabangsa Sibu 2026 yang berlangsung selama empat hari bermula 30 Julai hingga 2 Ogos menghimpunkan pelumba dari Brunei, Singapura, Thailand, Indonesia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Sarawak.

Acara berkenaan turut mencatat pencapaian tersendiri selepas mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records pada 2025 bagi penganjuran bot kuasa kawalan jauh (RC) terbanyak dalam satu acara.

Dalam saingan tahun ini, Pan Kee Seng daripada pasukan BT 5.5 muncul pemenang Piala Dato Sri Tiong King Sing selepas mengungguli Kelas F (Catamaran/Tunnel Hull 26cc-28.9cc Gasoline Marine Import Engine), sekali gus membawa pulang wang tunai RM3,000 berserta trofi.

Rakan sepasukannya, Jasper pula merangkul Piala YB Allan Siden Gramong selepas menjuarai Kelas E (Mono/Deep Vee Hull 26cc-28.9cc Gasoline Marine Import Engine), selain turut muncul juara Kelas D dan Kelas H.

Faiz Aji daripada Raja Kerbau Racing Team pula menjuarai Kelas A+B, manakala rakan sepasukannya, Ampuan Khairul Hafizul Ampuan Ali mengungguli Kelas C.

Ah Siang daripada Bintang Extreme menjuarai Kelas G dan dinobatkan juara kategori Best of the Best, sementara pelumba Thailand, Wirote Puangpit daripada Beever Xtreme Asia R/C Boat Team Thailand mengungguli Kelas I.

Bagi Kelas Veteran, Osman Hamid daripada AB Racing muncul juara.

Turut hadir Ketua Seksyen Perancangan Strategik dan Pemantauan Pelaksanaan Projek Pejabat Residen Bahagian Sibu merangkap Setiausaha Jawatankuasa Petugas Pelancongan Bahagian Sibu, Maria Nadja Jimmy; Sia Yee Pang dari JKKK Pulau Li Hua; Penolong Pengawal Lembaga Sungai-Sungai Sarawak Bahagian Sibu, Mohamad Fadzli Noh serta Jurutera Bahagian JKR Bahagian Sibu, Chieng Siong Min.

Oleh Tarani Lanting