Rumah panjang 23 pintu musnah dalam kebakaran

Facebook
WhatsApp
MARAK...Api marak memusnahkan sebuah rumah panjang 23 pintu di Rumah Padang Batu 37, Jalan Bintulu-Miri, Samalaju petang tadi

BINTULU: Sebuah rumah panjang 23 pintu di Rumah Padang Batu 37, Jalan Bintulu-Miri, Samalaju musnah sepenuhnya dalam kebakaran petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 4.31 petang itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan walaupun keseluruhan rumah panjang jenis tidak kekal atau kayu berkenaan terbakar 100 peratus.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samalaju bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.

“Setibanya di lokasi, komander operasi mendapati sebuah rumah panjang 23 pintu berukuran kira-kira 200 x 400 kaki sedang terbakar sepenuhnya.

“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 500 kaki dengan dua nozel, manakala sumber air diperoleh daripada sumber air terbuka yang terletak kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian,” katanya.

Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada 5.50 petang sebelum anggota bomba menjalankan kerja-kerja pemeriksaan dan pemadaman saki-baki api bagi memastikan tiada lagi punca kebakaran yang boleh menyebabkan api marak semula.

Operasi membabitkan 17 anggota dari BBP Samalaju dengan bantuan BBP Batu Niah, BBP Kidurong serta sebuah jentera tangki air dari BBP Bintulu.

Turut berada di lokasi ialah beberapa pegawai kanan JBPM dan sembilan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Oleh Liong Chai Ling