Karnival Sukan Komuniti semarak budaya hidup sihat, erat perpaduan

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol berucap ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Karnival Sukan Komuniti 2026 di Perkarangan Orad Grogo, Bau, hari ini.

BAU: Karnival Sukan Komuniti 2026 berjaya menghimpunkan masyarakat pelbagai lapisan usia menerusi pelbagai aktiviti sukan dan rekreasi, sekali gus membudayakan gaya hidup sihat serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan komuniti setempat.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol berkata, sukan bukan sekadar medan pertandingan untuk merebut kemenangan, sebaliknya menjadi platform penting dalam menyatukan masyarakat, memupuk semangat kerjasama serta mengeratkan hubungan silaturahim.

Menurutnya, penganjuran karnival berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkasa pembangunan masyarakat melalui pembudayaan sukan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang mengutamakan kesejahteraan rakyat, pembangunan modal insan dan komuniti yang inklusif.

MORDI Bimol merakam kenangan bersama peserta dan penduduk setempat pada Karnival Sukan Komuniti 2026 di Orad Grogo, Bau.

“Melalui program seperti ini, kita dapat melihat bagaimana sukan menjadi medium terbaik untuk menyatukan masyarakat tanpa mengira usia, jantina mahupun latar belakang. Sambutan yang amat menggalakkan membuktikan rakyat semakin menyedari kepentingan menjadikan sukan sebagai amalan dalam kehidupan seharian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Karnival Sukan Komuniti 2026 bertemakan ‘Bersama Semarakkan Sukan, Eratkan Komuniti’ di Perkarangan Orad Grogo, di sini, hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Belia dan Sukan menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak atas kejayaan menganjurkan karnival tersebut, selain menghargai komitmen pemimpin masyarakat, persatuan sukan, pegawai teknikal, pengadil, urus setia, sukarelawan dan seluruh komuniti yang berganding bahu menjayakannya.

PESERTA mengharungi cabaran permainan sukaneka yang menceriakan suasana Karnival Sukan Komuniti 2026 di Orad Grogo, Bau.

Mordi berkata, amalan gaya hidup sihat tidak semestinya bermula di gelanggang sukan, sebaliknya boleh dipupuk menerusi aktiviti fizikal harian seperti berjalan kaki, berjoging, berbasikal, bersenam bersama keluarga serta menyertai aktiviti rekreasi komuniti.

Beliau turut menggesa golongan belia agar terus memainkan peranan sebagai peserta, sukarelawan dan penganjur program komuniti kerana penglibatan aktif mereka penting dalam melahirkan masyarakat yang progresif, berdaya saing serta mempunyai semangat kepimpinan.

AKSI peserta dalam pertandingan sepak takraw yang menjadi antara acara dipertandingkan pada Karnival Sukan Komuniti 2026 di Bau.

Dalam pada itu, beliau berharap Karnival Sukan Komuniti akan terus dijadikan acara tahunan dan diperluaskan ke lebih banyak kawasan bagi menggalakkan pembudayaan sukan, memperkukuh perpaduan serta meningkatkan kesejahteraan komuniti.

Oleh Norman B