Hikmah, Perkim dan USK santuni kebajikan mualaf serta saudara baharu Sarawak

Facebook
WhatsApp
DATUK Dr Abdul Rahman Ismail pada majlis penangguhan Seminar Wanita dan Keluarga Islam Limbang 2026 anjuran Perkim Cawangan Limbang.

LIMBANG: Kebajikan mualaf dan saudara baharu di Sarawak sentiasa diberi perhatian serta disantuni menerusi peranan badan bukan kerajaan (NGO) Islam seperti Harakah Islamiah (Hikmah), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dan Unit Saudara Kita (USK).

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, berkata golongan mualaf mesti didekati melalui pendekatan dakwah yang penuh berhikmah.

Menurutnya lagi kedua-dua pertubuhan ini telah menunjukkan peranan aktif dalam membantu golongan saudara baharu menerusi program dakwah, kebajikan, dan pendidikan.

“Mualaf ini cabarannya begitu berat. Hendak melafazkan dua kalimah syahadah itu sangat susah. Banyak fikiran, keluarga dan sebagainya.

“Kita orang Islam perlu menyokonglah. Kalau di Sarawak ni ada Hikmah, Perkim, Jabatan Agama Islam, Unit Saudara Baru (USK).

“Kita sama-sama membantu dan hari ini perkongsian ilmu ini akan meningkatkan lagi keimanan mereka dan keimanan kita semua,” katanya pada majlis penangguhan Seminar Wanita dan Keluarga Islam Limbang 2026 anjuran Perkim Cawangan Limbang di Hotel Purnama Limbang hari ini.

Jelasnya, Perkim Cawangan Limbang berjaya melunas tugas, amanah dan tanggungjawab yang disandarkan kepada Perkim sebagai badan dakwah tersohor di Malaysia.

Tambahannya, Perkim Limbang juga memperluaskan penganjuran program dakwah, keagamaan, sosial dan kemasyarakatan selain menyantuni golongan memerlukan.

Kata beliau, Perkim Cawangan Limbang terus  mengukuhkan lagi peranan dalam menyebarluaskan lagi institusi dakwah dan mengangkat syiar Islam dan menyantuni golongan asnaf, mualaf dan masyarakat kurang berkemampuan, anak yatim dan sebagainya melalui penganjuran pelbagai program.

Turut sama Pengerusi Perkim Cawangan Limbang Datin Dayang Maimunah Awang Mohamad Daud.

Oleh Adeng Edrus