Eropah barat alami pemanasan lebih pantas, risiko kebakaran hutan meningkat – Pakar

Facebook
WhatsApp
PENDUDUK dan anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran hutan berhampiran Formariz di wilayah Zamora, Sepanyol, pada 29 Julai 2026. Foto agensi

BARCELONA, Sepanyol: Eropah Barat mengalami pemanasan lebih pantas berbanding kebanyakan kawasan lain di dunia, sekali gus mencetuskan gelombang haba lebih kerap dan meningkatkan risiko kebakaran hutan yang semakin serius, kata pakar iklim Sepanyol Ruben del Campo.

Jurucakap Agensi Meteorologi Negara Sepanyol (AEMET), Del Campo berkata keadaan itu dapat dilihat ketika Sepanyol dijangka mengalami gelombang haba keempat musim panas ini pada penghujung Julai, dengan suhu diramal mencecah 42 darjah Celsius di banyak kawasan. 

Menurut AEMET, Jun 2026 merupakan bulan Jun kedua terpanas dan ketiga paling kering di Sepanyol sejak rekod kebangsaan bermula pada 1961.

Cuaca panas melampau turut mencetuskan kebakaran hutan yang memaksa hampir 200,000 penduduk meninggalkan kediaman mereka di Sepanyol dan selatan Perancis setakat musim panas ini.

“Beberapa kajian menunjukkan Eropah Barat termasuk United Kingdom, Perancis, Itali, Sepanyol dan Portugal, memanas lebih pantas berbanding banyak kawasan lain di dunia dan lebih terdedah kepada gelombang haba,” katanya kepada Xinhua pada Jumaat.

Beliau berkata negara di sekitar Mediterranean antara yang paling terdedah kepada gelombang haba dalam keadaan iklim semasa, dengan suhu di beberapa kawasan di Sepanyol sudah mencecah 35 darjah Celsius pada akhir Mei.

Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) memaklumkan suhu di Eropah secara keseluruhan meningkat kira-kira dua darjah Celsius sejak gelombang haba bersejarah pada 1976, terutama akibat perubahan iklim.

“Terdapat kaitan jelas dengan perubahan iklim. Peningkatan suhu purata akan menyebabkan kejadian haba melampau bertambah dan itulah yang sedang kita saksikan,” kata del Campo.

Suhu tinggi, kelembapan rendah dan angin kencang mewujudkan keadaan yang memudahkan kebakaran hutan tercetus di seluruh Eropah.

Menurut beliau, cuaca panas dan kemarau yang bermula lebih awal menyebabkan rumput serta pokok renek cepat kering, sekali gus membolehkan api merebak dengan pantas dan menyukarkan usaha pemadaman.

Del Campo memberi amaran bahawa ancaman kebakaran hutan dijangka berterusan sepanjang Ogos berikutan suhu tinggi dan keadaan cuaca yang terus mendorong kebakaran berskala besar.

Menjelang akhir Julai, hampir 180,000 hektar kawasan di Sepanyol musnah akibat kebakaran hutan, sekitar enam kali ganda berbanding 29,817 hektar dalam tempoh sama pada 2025, menurut Kementerian Peralihan Ekologi dan Cabaran Demografi Sepanyol. – Bernama