Jet pejuang AS terhempas berhampiran pangkalan tentera di California

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA bomba menyemburkan air ke atas bangkai pesawat pejuang F-35B Kor Marin AS selepas pesawat itu terhempas di sebuah kawasan lapang berhampiran Pangkalan Udara Miramar di San Diego, California, pada 31 Julai 2026. Foto AFP

LOS ANGELES, Amerika Syarikat: Sebuah jet pejuang F-35 milik Amerika Syarikat (AS) terhempas berhampiran sebuah pangkalan tentera di San Diego, namun juruterbangnya berjaya melenting keluar sebelum pesawat itu terhempas, menurut pihak berkuasa.

“Telah berlaku satu insiden penerbangan membabitkan pesawat F-35B Kor Marin di sekitar Pangkalan Udara Kor Marin Miramar (MCAS Miramar) kira-kira 1.00 pagi (waktu Malaysia),” kata jurucakap pangkalan berkenaan kepada AFP.

“Juruterbang berjaya melenting keluar dan telah diselamatkan.”

Dalam kenyataan susulan, pihak pangkalan memaklumkan juruterbang terbabit telah dibawa ke sebuah kemudahan perubatan dan kini berada dalam keadaan stabil untuk menjalani pemeriksaan serta menerima rawatan bagi kecederaan yang tidak mengancam nyawa.

Rakaman yang tular di media sosial menunjukkan kepulan asap tebal menjulang dari lokasi nahas ketika anggota bomba dikerahkan untuk memadamkan kebakaran.

MCAS Miramar terkenal di seluruh dunia sebagai bekas lokasi sekolah latihan juruterbang elit Tentera Laut AS, Top Gun, yang diabadikan menerusi filem Top Gun terbitan 1986 lakonan Tom Cruise.

Menurut pengeluar pesawat, Lockheed Martin, setiap pesawat F-35B, iaitu varian jet pejuang halimunan yang berkeupayaan berlepas dan mendarat secara menegak, dianggarkan bernilai kira-kira AS$109 juta. – AFP