Tulang mamot ditemukan di dasar Sungai Danube yang kering di Bulgaria

Facebook
WhatsApp
GAMBAR edaran yang dirakam oleh Teodor Mechev dan dikeluarkan pada 30 Julai 2026 ini menunjukkan saintis dari Muzium Sejarah Wilayah Rousse memeriksa sisa-sisa seekor mamot purba selepas paras air Sungai Danube yang mencatat rekod terendah mendedahkan sebahagian dasar sungai berhampiran kampung Ryahovo, di timur laut Rousse. Foto AFP

SOFIA: Paras air Sungai Danube yang semakin surut telah mendedahkan penemuan tulang seekor mamot di Bulgaria dan berpotensi membawa kepada lebih banyak penemuan pada masa depan, kata seorang pengarah muzium tempatan kepada AFP.

Serpihan tulang yang ditemukan berhampiran bandar Ruse di timur laut Bulgaria “berkemungkinan besar” milik seekor mamot berbulu (woolly mammoth) yang hidup pada Zaman Ais, kata Pengarah Muzium Sejarah Wilayah, Nikolay Nenov.

Setakat ini, pakar telah mengenal pasti tulang rahang, serpihan gading, sebahagian tulang belikat serta tulang paha lengkap dengan kepala sendinya daripada koleksi penemuan tersebut, katanya.


GAMBAR edaran oleh Teodor Mechev yang dikeluarkan pada 30 Julai 2026 menunjukkan penemuan sisa-sisa mamot purba selepas paras air Sungai Danube yang mencatat rekod terendah. Foto AFP

Menurut Nenov, haiwan itu dipercayai masih muda ketika mati dan warna gelap pada tulangnya mungkin menunjukkan ia menghabiskan tempoh yang lama di kawasan berpaya.

Beliau berkata, penemuan itu amat penting kerana tulang-tulang tersebut berada dalam keadaan yang baik serta “tidak seperti banyak penemuan terdahulu… semuanya tertumpu di lokasi yang sama”, sekali gus menunjukkan kesemua tulang itu berasal daripada haiwan yang sama.

Mamot berbulu pernah hidup sezaman dengan manusia awal yang memburu mamalia herbivor tahan cuaca sejuk itu sebagai sumber makanan serta menggunakan gading dan tulangnya sebagai peralatan.

SETAKAT ini, pakar telah mengenal pasti tulang rahang, serpihan gading, sebahagian tulang belikat serta sebatang tulang paha lengkap dengan kepala sendinya dalam penemuan tersebut. Foto AFP

Haiwan tersebut pupus kira-kira 4,000 tahun lalu. Selama beberapa dekad, saintis telah menemukan pelbagai bahagian mamot seperti gading, tulang, gigi dan bulu.

Sisa rangka di Bulgaria itu ditemui secara kebetulan oleh seorang penduduk Kampung Ryahovo di wilayah Ruse sebelum dikumpulkan oleh pakar muzium pada Khamis.

Sungai Danube, yang mengalir dari kawasan pergunungan Black Forest di barat Jerman merentasi 10 negara sebelum bermuara di Laut Hitam, kini mencatat paras air terendah di beberapa kawasan berikutan kekurangan hujan yang berpanjangan serta gelombang haba berturut-turut sejak Mei.

Menurut Nenov, pakar kini merancang untuk menjalankan pencarian baharu di kawasan tersebut dengan harapan dapat menemukan lebih banyak tinggalan mamot. — AFP