“Sekejap je main telefon” jadi ancaman senyap ‘text neck syndrome’ terhadap kanak-kanak

Facebook
WhatsApp
SEORANG kanak-kanak dilihat bermain telefon pintar yang boleh menyumbang kepada sindrom leher teks (text neck syndrome), yang kini membimbangkan masyarakat terutama golongan ibu bapa. Foto Bernama

IPOH: ‘Sekejap saja tau’ ungkapan yang biasa digunakan ibu bapa sambil menghulurkan peranti pintar kepada si anak sementara menunggu ketibaan makanan yang dipesan di restoran, atau semasa dalam perjalanan, atau ketika si anak buat perangai.

Perkara yang kini menjadi kelaziman sebenarnya mengundang bahaya tanpa disedari kerana, penggunaan peranti pintar untuk tempoh yang lama dan secara berterusan menjadi antara punca sindrom leher teks (text neck syndrome), yang sebelum ini dikaitkan dengan orang dewasa yang bekerja dengan komputer, tetapi sekarang kian menular dalam kalangan kanak-kanak.

Sindrom leher teks berlaku disebabkan oleh keadaan leher yang menunduk atau terkedepan melebihi garis normal bahu ketika menggunakan peranti untuk tempoh yang lama dan secara konsisten. 

Malah, kata pakar, sindrom itu boleh berlaku pada kanak-kanak seawal usia enam tahun berikutan cara hidup zaman sekarang kerana, penggunaan peranti pintar bukan hanya untuk tujuan hiburan tetapi juga sebagai alat pembelajaran, komunikasi dan aktiviti lain. 

“Berbeza dengan generasi terdahulu yang mula menggunakan teknologi digital ketika remaja atau dewasa, kanak-kanak hari ini terdedah kepada skrin seawal usia prasekolah. Generasi sekarang mula menggunakan telefon pada umur enam atau tujuh tahun kerana apa yang orang dewasa mula gunakan pada usia 20 atau 30 tahun dahulu, mereka sudah alami sejak kecil lagi,” kata Perunding Pakar Bedah dan Ortopedik dan Tulang Belakang Dr S. Jaya Thilak ketika ditemui Bernama di sini.

PENGGUNAAN peranti pintar secara berlebihan meningkatkan risiko sindrom leher teks dalam kalangan kanak-kanak. Foto Bernama

Ketagih peranti antara punca

Mengulas lanjut, Dr Jaya berkata sindrom leher teks dilaporkan menjadi fenomena membimbangkan dalam kalangan masyarakat sejak 10 hingga 15 tahun lalu, seiring dengan peningkatan penggunaan peranti.

Namun, katanya, lebih membimbangkan ialah peningkatan kes dalam kalangan kanak-kanak seawal usia enam hingga lapan tahun, yang mengalami sakit dan kekejangan leher akibat penggunaan peranti pintar secara berpanjangan. 

Merujuk satu kes yang pernah dikendalikannnya, pakar yang berkhidmat di Ipoh Specialist Hospital itu berkata pesakit tersebut baru berusia 11 tahun dan mengadu mengalami sakit leher berpanjangan.

“Dalam kes ini, terdapat sejarah penggunaan telefon dan peranti yang kerap, dan aktiviti itu mungkin menyumbang kepada simptom yang dialami. Walau bagaimanapun, faktor lain seperti postur ketika belajar, penggunaan tablet atau komputer, aktiviti harian, kekuatan otot leher dan tahap aktiviti fizikal juga boleh memainkan peranan,” jelasnya. 

Menyifatkan ketagih peranti sebagai antara faktor utama sindrom itu, beliau berkata tabiat menunduk terlalu lama berlaku tanpa disedari kerana mereka terlalu asyik menatap skrin.  

“Jika dahulu mereka menonton televisyen yang memerlukan pergerakan mata dan badan secara semula jadi, kini algoritma media sosial dan platform video direka untuk memastikan pengguna terus menatap dari satu kandungan ke kandungan lain tanpa henti dan akhirnya menyebabkan ketagihan.

“Hal ini berbeza dengan membaca buku kerana,  walaupun perbuatan itu sama seperti penggunaan telefon iaitu menunduk, ramai pengguna tidak sedar mereka sudah menggunakan telefon selama berjam-jam dalam posisi yang salah berbanding membaca buku,” katanya.

Beliau berkata kandungan video pendek ‘reels’ di Youtube atau TikTok yang pantas sekitar lima hingga tujuh saat kini menjadi pilihan dan akan terus menyumbang kepada ketagihan, menyebabkan pengguna sukar berhenti menonton, sekali gus meningkatkan tempoh penggunaan telefon tanpa rehat.

“Penggunaan telefon secara berterusan melebihi 30 minit hingga satu jam dalam keadaan leher membongkok sudah cukup untuk meningkatkan risiko mengalami kekejangan leher dan gangguan postur,” tegasnya.

Gangguan di bahagian otot leher

PERUNDING Pakar Bedah Ortopedik dan Tulang Belakang Ipoh Specialist Hospital Dr S. Jaya Thilak bercakap kepada Bernama mengenai peningkatan kes sindrom leher teks (text neck syndrome) dalam kalangan kanak-kanak akibat penggunaan peranti pintar secara berterusan ketika ditemui di Hospital KPJ baru-baru ini. Foto Bernama

Jelas Dr Jaya,  keadaan postur yang salah semasa menggunakan peranti memberikan tekanan kepada otot leher, menyebabkan ketegangan dan berisiko merosakkan ligamen. Malah, dalam keadaan tertentu, mempercepat proses kemerosotan struktur tulang belakang.

“Ramai yang anggap anak hanya bermain telefon sekejap saja, tetapi masalahnya bukan sekadar tempoh penggunaan tetapi kedudukan kepala dan leher ketika menggunakan peranti. 

“Kepala manusia secara purata mempunyai berat sekitar tiga hingga empat kilogram, namun apabila leher dibengkokkan ke depan kira-kira 30 darjah untuk melihat skrin telefon, beban yang ditanggung leher boleh meningkat mencecah 27 hingga 30 kg.

“Bayangkan seorang kanak-kanak yang sedang menonton video kegemarannya sambil menundukkan kepala di ruang tamu, dari luar dia kelihatan tenang dan tidak menunjukkan sebarang masalah namun pada masa yang sama, leher kecilnya sedang menanggung tekanan yang bersamaan mengangkat beban berat secara berterusan,” katanya. 

Pun begitu, kesannya bukan serta-merta.

“Antara kesan awal penggunaan peranti secara berlebihan ialah kekejangan atau neck stiffness pada leher, apabila posisi itu menyebabkan otot leher menjadi lebih tegang dan kaku, sekali gus mengehadkan pergerakan serta menimbulkan rasa tidak selesa ketika melakukan aktiviti harian.

“Jika berterusan, keadaan itu bukan sahaja menjejaskan otot tetapi turut memberi kesan kepada ligamen dan struktur leher yang lain, termasuk sendi serta cakera tulang belakang (disc) kerana setiap tulang belakang terdapat cakera yang berfungsi sebagai penyerap hentakan dan membantu pergerakan tulang belakang. Namun, postur yang salah secara berterusan ketika menggunakan peranti boleh mempercepat proses kemerosotan atau penuaan cakera tersebut,” katanya.

Beliau berkata secara semula jadi kandungan air dalam cakera akan berkurangan apabila seseorang meningkat usia, menyebabkan cakera menjadi semakin nipis, namun tekanan berulang akibat kedudukan leher yang tidak betul boleh mempercepat proses itu, sekali gus meningkatkan risiko tekanan terhadap saraf dan masalah tulang belakang pada usia yang lebih muda.

“Apabila cakera menjadi semakin haus dan menipis, ia boleh menekan saraf di sekeliling tulang belakang serta menyebabkan pelbagai simptom seperti sakit leher yang kronik, kebas atau ketidakselesaan yang berpanjangan.

“Dalam keadaan tertentu, tekanan yang berterusan terhadap saraf berpotensi menyebabkan komplikasi yang lebih serius, termasuk gangguan fungsi saraf. Bagaimanapun risiko untuk mengalami kecacatan kekal adalah sangat minimum dan jarang berlaku,” katanya.

Cara postur dan penggunaan peranti 

GAMBARAN grafik menunjukkan bagaimana penggunaan peranti pintar secara berpanjangan boleh menyebabkan sindrom leher teks (text neck syndrome), yang kini semakin membimbangkan, termasuk dalam kalangan kanak-kanak. Foto Bernama

Sementara itu, Perunding Pakar Bedah Ortopedik Dr Loh Choong Sing berkata pengguna perlu memastikan kepala dan leher berada dalam kedudukan tegak dengan peranti diangkat pada paras mata bagi mengurangkan tekanan pada otot dan tulang belakang leher.

“Apabila kepala berada dalam kedudukan tegak, beban yang ditanggung leher hanyalah sekitar lima kg, namun apabila kepala ditundukkan pada sudut 30 darjah, beban itu meningkat kepada kira-kira 15 kilogram (kg), manakala pada sudut 60 darjah tekanannya boleh mencecah sekitar 30 kg.

“Bagi mengelakkan gejala text neck syndrome itu penggunaan peranti atau melakukan kerja di meja secara berterusan juga perlu dielakkan dengan mengamalkan waktu rehat secara berkala, iaitu berehat selama satu hingga dua minit bagi setiap 30 minit, sama ada berdiri, melakukan regangan ringan dan menggerakkan leher sebelum menyambung semula aktiviti,” kata Pengarah Perubatan di Quill Ipoh Orthopedica Hospital ini kepada Bernama.

Beliau berkata perubahan gaya hidup merupakan rawatan utama bagi pesakit text neck syndrome, selain fisioterapi yang membantu menguatkan otot leher serta mendidik pesakit mengamalkan postur badan yang betul.

“Ahli fisioterapi  turut membimbing pesakit mengenai teknik penggunaan peranti yang betul bagi mengurangkan risiko gejala berulang, manakala kebanyakan pesakit menunjukkan perkembangan positif selepas menjalani rawatan dan mengubah tabiat harian mereka,” katanya.

Kerjasama ibu bapa, pemegang taruh pendidikan 

PERUNDING Pakar Bedah Ortopedik Dr Loh Choong Sing menjelaskan sindrom leher teks, iaitu masalah yang berpunca daripada penggunaan peranti pintar secara berpanjangan dengan postur leher yang tidak betul, dan kini semakin membimbangkan dalam kalangan kanak-kanak. Foto Bernama

Dalam pada itu, Dr Jaya berkata kerjasama antara Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Kesihatan amat membantu dalam menyokong penyelidikan lanjut berkenaan sindrom itu selain memperkukuh kesedaran awam dan memperhebat program pendidikan pencegahan.

Katanya, walaupun Malaysia masih belum mempunyai data kebangsaan yang komprehensif tentang sindrom leher teks, satu kajian antarabangsa mendapati hampir dua pertiga pengguna telefon pintar yang menggunakan peranti itu secara kerap melaporkan mereka mengalami sakit leher, sekali gus mencerminkan peningkatan kesan penggunaan peranti secara berpanjangan terhadap sistem muskuloskeletal.

Menurut beliau lagi, satu kajian terbaharu yang dijalankan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kuantan turut mendapati sakit leher merupakan masalah yang lazim dalam kalangan pelajar universiti dan mempunyai kaitan yang signifikan dengan ketagihan telefon pintar. Dapatan itu menekankan kepentingan memupuk amalan penggunaan teknologi digital yang lebih sihat sejak usia muda.

Dr Jaya turut menyambut baik inisiatif pendigitalan pendidikan oleh kerajaan, termasuk penggunaan tablet di sekolah, dan berkata usaha itu boleh diperkukuhkan lagi dengan panduan praktikal mengenai penggunaan peranti secara sihat, postur badan yang betul serta amalan ergonomik bagi mengurangkan risiko masalah leher dan tulang belakang.

Beliau berkata pendidikan kepada pelajar, guru dan ibu bapa mengenai tabiat penggunaan peranti digital yang selamat juga memainkan peranan penting dalam mencegah sindrom leher teks, di samping menyokong agenda pendigitalan pembelajaran negara. – Bernama