KUCHING: Lima remaja lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes samun berkumpulan menggunakan senjata tajam di sebuah premis di Jalan Tun Jugah.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata suspek berusia antara 14 hingga 18 tahun itu diberkas oleh sepasukan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, dalam operasi di sekitar Kuching dan Serian antara 12.15 tengah malam hingga 3.00 pagi semalam.
Beliau berkata, hasil tangkapan membawa kepada rampasan beberapa barang kes termasuk sebuah kereta yang dipercayai digunakan semasa kejadian.
“Hasil semakan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Mereka telah direman selama lima hari bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Menurut Alexson, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan menggunakan senjata tajam, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi pegawai penyiasat kes, Insp Logeswara Tharumalay @ Krishnan di talian 018-2914239 atau Bilik Gerakan IPD Kuching di talian 082-244444, atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran
Beliau turut menggesa masyarakat agar terus bekerjasama dengan Polis dalam usaha membanteras jenayah serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di Daerah Kuching.
Oleh Connie Chieng





