Borneo Interwoven kukuhkan industri kreatif, pelihara warisan budaya Borneo

Facebook
WhatsApp
DATUK Seri Nancy Shukri pada Majlis Penutupan Program Borneo Interwoven: Jalinan Borneo 2026 di Rumah Panjang Mendit Unsu, Penom, Ulu Paku, hari ini. Foto: Uban Dana

SPAOH: Program Borneo Interwoven: Jalinan Borneo 2026 bukan sekadar menghimpunkan penggiat seni tekstil dan kraf tangan tradisional, malah menjadi platform strategik dalam memperkasakan wanita, memelihara warisan budaya serta memperkukuh pembangunan industri kreatif negara.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata program itu membuktikan warisan tekstil Sarawak dan Sabah mampu menjadi sumber kekuatan ekonomi, membuka peluang pembangunan diri serta melahirkan lebih ramai wanita yang berkeyakinan, berkemahiran dan memiliki ciri kepimpinan.

Beliau berkata usaha mengangkat seni tekstil tradisional sebagai aset ekonomi dan budaya amat penting dalam memastikan khazanah warisan masyarakat Borneo terus dipelihara, di samping memberi manfaat kepada komuniti artisan, khususnya golongan wanita.

“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) sentiasa komited memperkukuh peranan wanita dalam pembangunan negara menerusi pelbagai program pembangunan kepimpinan dan pemerkasaan.

“Antara inisiatif utama ialah Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) yang menyediakan platform pembangunan kepimpinan melalui pendekatan perantisan, bimbingan dan perkongsian pengalaman bersama tokoh wanita yang berjaya dalam pelbagai bidang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penutupan Program Borneo Interwoven: Jalinan Borneo 2026 di Rumah Panjang Mendit Unsu, Penom, Ulu Paku, hari ini. 

Nancy berkata program itu bukan sahaja bertujuan mencungkil bakat kepimpinan wanita, malah meningkatkan keyakinan diri, memperluas jaringan sokongan serta membuka peluang kepada peserta untuk menyumbang secara lebih bermakna kepada keluarga, masyarakat dan negara.

“Sejak diperkenalkan, PERANTIS menunjukkan pencapaian memberangsangkan apabila seramai 1,247 peserta menerima bimbingan daripada 25 tokoh wanita dalam 10 bidang utama pada tahun 2024, meliputi kepimpinan, politik, ekonomi, sosial, teknologi, perundangan, keselamatan, kesejahteraan, pendidikan dan kesihatan.

“Susulan kejayaan tersebut, kerajaan memperuntukkan RM5 juta pada tahun 2025 bagi memperluaskan pelaksanaan program itu dengan penyertaan 100 tokoh wanita dan lebih 4,000 peserta di seluruh negara,” katanya.

Beliau menambah, bagi tahun 2026 pula, kerajaan terus memperuntukkan RM4 juta untuk memastikan kesinambungan PERANTIS sebagai bukti komitmen berterusan dalam membangunkan kepimpinan wanita negara.

Mengulas mengenai Borneo Interwoven: Jalinan Borneo 2026, Nancy berkata penganjurannya amat bertepatan kerana menyediakan ruang kepada wanita meneroka potensi diri melalui bidang yang dekat dengan identiti serta warisan masyarakat tempatan.

Beliau berkata program itu turut menjadi platform pertukaran ilmu serantau dalam bidang tekstil, tenunan dan pewarna semula jadi dengan menghimpunkan pengamal seni tekstil tradisional dari seluruh Borneo, sekali gus mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai pusat rujukan penting dalam pemeliharaan dan pembangunan warisan tekstil Borneo.

Menurut beliau, inisiatif yang diterajui TANOTI di bawah kepimpinan Dato’ Jacqueline Fong membuktikan warisan budaya mampu terus diperkasakan melalui pendekatan inovatif, pembangunan kapasiti dan penciptaan peluang ekonomi kepada komuniti artisan, khususnya wanita.

Nancy turut merakamkan penghargaan apabila enam peserta PERANTIS dipilih menyertai program berkenaan yang disifatkan mampu memperkukuh kemahiran kepimpinan, memperluas jaringan profesional serta melahirkan pemimpin komuniti yang berupaya memacu pembangunan di kawasan masing-masing.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada TANOTI Sdn. Bhd. atas komitmen berterusan dalam memperkukuh ekosistem seni tekstil, memelihara warisan budaya serta membuka peluang pembangunan ekonomi kepada komuniti artisan di Sabah dan Sarawak melalui kerjasama strategik bersama kerajaan dan sektor swasta.

“Warisan budaya merupakan aset bernilai yang mampu mencipta masa depan negara, justeru semua pihak perlu berganding bahu memeliharanya sambil terus memperkasa wanita sebagai peneraju perubahan, pemacu ekonomi kreatif dan penyumbang penting kepada pembangunan Malaysia,” ujarnya.

Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu dan Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas.

Oleh Adi Safarman