LUBOK ANTU: Program Bersama Komuniti Majlis Daerah Lubok Antu (MDLA) DUN Batang Ai menjadi platform penting dalam memastikan rakyat di kawasan luar bandar dan pedalaman terus menikmati akses kepada pelbagai perkhidmatan kerajaan menerusi pendekatan outreach yang lebih menyeluruh.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Dr. Malcolm Mussen Lamoh berkata pendekatan tersebut membolehkan kerajaan mendekati rakyat secara terus, sekali gus memudahkan mereka mendapatkan pelbagai kemudahan serta perkhidmatan tanpa perlu ke bandar.
Beliau berkata, sempena program itu, sebanyak RM190,000 diperuntukkan menerusi Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi menyokong pembangunan komuniti serta memperkukuh peranan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan pertubuhan masyarakat di DUN Batang Ai.
Menurutnya, peruntukan itu merangkumi bantuan kepada JKKK Rumah Kain, Bintong, Gerempong Indu Rumah Kain, Projek RTP 2026 Rumah Kain, JKKK Rumah Jamit, Pudai, Gerempong Indu Rumah Jamit, JKKK Rumah Linga di Lepong Mawang, JKKK Serembai dan JKKK Rumah Ngedon, Sebangki Baru.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Bersama Komuniti MDLA DUN Batang Ai Tahun 2026 yang dianjurkan Majlis Daerah Lubok Antu di Rumah Kain Anggie, Bintong, semalam.
Dalam ucapannya, Dr Malcolm yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai menyeru lebih banyak agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan berkanun serta sektor swasta memperhebat pelaksanaan program jangkauan, khususnya di kawasan pedalaman seperti Batang Ai, bagi memastikan tiada komuniti tercicir daripada menerima manfaat pembangunan.
Beliau menegaskan bahawa cabaran berkaitan akses jalan dan perhubungan tidak seharusnya menjadi halangan kepada penyampaian perkhidmatan kerajaan kerana kerajaan Sarawak sentiasa mengutamakan rakyat (People First) dengan memastikan setiap lapisan masyarakat menikmati peluang pembangunan secara adil tanpa mengira lokasi.
Katanya, pelaksanaan program jangkauan secara bersepadu yang menghimpunkan pelbagai agensi di bawah satu bumbung bukan sahaja menjimatkan kos dan masa, malah memudahkan rakyat mendapatkan maklumat, bantuan, latihan, pembiayaan serta peluang pembangunan ekonomi dengan lebih cepat dan berkesan.
Dr Malcolm berkata kerjasama erat antara agensi kerajaan, wakil rakyat, pemimpin masyarakat dan komuniti setempat amat penting bagi memastikan setiap program yang dilaksanakan benar-benar memenuhi keperluan rakyat serta memberi impak pembangunan yang berkekalan selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Sepanjang program itu, pelbagai kaunter perkhidmatan disediakan kepada penduduk termasuk pendaftaran SarawakPass, aplikasi identiti digital rasmi kerajaan Sarawak yang membolehkan pengguna mengakses pelbagai perkhidmatan digital kerajaan melalui satu akaun.
Selain itu, kaunter pendaftaran lesen anjing turut mendapat sambutan daripada penduduk. Bagi menggalakkan pematuhan terhadap peraturan pihak berkuasa tempatan, MDLA menawarkan pendaftaran lesen anjing secara percuma selama tiga tahun bermula 2026, melibatkan kadar RM10 bagi anjing bersunat dan RM30 bagi anjing tidak bersunat.
Program berkenaan berjaya merekodkan sebanyak 50 pendaftaran SarawakPass, manakala 31 lesen anjing didaftarkan oleh penduduk setempat sepanjang berlangsungnya program tersebut.
Dr Malcolm merakamkan penghargaan kepada MDLA, semua agensi kerajaan yang terlibat serta pemimpin masyarakat atas komitmen menjayakan program berkenaan.
Beliau berharap inisiatif seumpama itu akan terus diperkasakan bagi memastikan masyarakat luar bandar dan pedalaman terus menikmati manfaat pembangunan serta penyampaian perkhidmatan kerajaan secara inklusif, menyeluruh dan berterusan.
Oleh Adi Safarman





