LONDON: Bekas pertahanan AC Milan dan Itali Franco Baresi, meninggal dunia pada usia 66 tahun, lapor PA Media/dpa yang memetik kelab bola sepak Itali itu.
Bekas kapten Milan itu dianggap sebagai antara pemain pertahanan terbaik dalam sejarah bola sepak dan menghabiskan seluruh kariernya bersama kelab berkenaan, membuat 719 penampilan sepanjang 20 musim sebagai pemain profesional.
Dalam tempoh itu, Baresi memenangi enam kejuaraan Serie A, dengan gelaran Scudetto pertamanya diraih ketika beliau masih remaja pada musim 1978-79. Beliau menambah lima lagi kejuaraan pada penghujung 1980-an dan awal 1990-an.
Pemain pertahanan itu turut memenangi tiga Piala Eropah, dua Piala Antara Benua serta empat Piala Super Itali sepanjang kariernya. Sumbangan besarnya kepada Milan menyaksikan kelab itu mengabadikan nombor jersi enam miliknya.
Di peringkat antarabangsa, Baresi merupakan sebahagian daripada skuad Itali yang menjuarai Piala Dunia 1982, selain beraksi dalam Piala Dunia 1994 yang menyaksikan Itali tewas kepada Brazil menerusi penentuan penalti pada perlawanan akhir.
Satu hantaran di akaun rasmi Milan di platform X berkata: “Seluruh warga AC Milan diselubungi kesedihan susulan pemergian Franco Baresi.
“Teladan dan integriti beliau akan kekal terpahat dalam DNA kelab ini, sama seperti jersi ikonik nombor enam miliknya.”
Ucapan takziah AC Milan kepada keluarga Franco Baresi pada waktu sukar ini turut dikongsi oleh setiap penyokong Rossonero.
Dalam satu lagi kenyataan di laman web kelab itu, Milan berkata: “Mengumumkan pemergian seseorang yang melambangkan jiwa dan hati AC Milan adalah sesuatu yang amat sukar.
“Namun, semua warga kelab dan seluruh Milanisti perlu menghormati legasi Franco Baresi. Kita mesti kuat dan mengumpulkan segala tenaga walaupun pada saat paling menyedihkan ini.”
Kelab itu berkata penampilan awam terakhir Baresi berlangsung di Stadium San Siro yang dipenuhi penyokong sempena majlis pembukaan Olimpik Musim Sejuk Milan, beberapa bulan sebelum pemergiannya.
“Bagi mengenang Franco, kami akan terus bersatu dengan semangat dan legasi yang ditinggalkannya akan terus menjadi inspirasi kepada keluarga besar Rossoneri,” menurut kenyataan itu. – Bernama



