Pesawat Eurowings berpatah balik ke Stuttgart selepas dipanah petir

Facebook
WhatsApp
Pesawat Eurowings

STUTTGART, Jerman: Sebuah pesawat Eurowings yang dalam perjalanan dari Stuttgart ke Vienna dipanah petir, menyebabkan pesawat itu berpatah balik ke Stuttgart sebagai langkah berjaga-jaga untuk menjalani pemeriksaan teknikal, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) yang memetik syarikat penerbangan itu, hari ini.

Jurucakap Eurowings berkata pesawat berkenaan sudah berada di ruang udara ketika dipanah petir. Keselamatan pesawat tidak terjejas sepanjang insiden itu. Pesawat itu mendarat semula di lapangan terbang asalnya selepas sekitar 40 minit.

Seramai 106 penumpang dan anak kapal berada di dalam pesawat itu. Para penumpang kemudian ditempatkan dalam penerbangan lain.

Juruteknik memeriksa pesawat berkenaan selepas insiden pada petang semalam. Jurucakap itu berkata pesawat Airbus A320 berkenaan dijangka dapat beroperasi semula pada hari yang sama. – Bernama