PGA rampas rokok dan minuman keras disyaki tidak bercukai bernilai RM92,000 di Bau

Facebook
WhatsApp
BARANGAN yang berjaya dirampas PGA dan remaja yang ditahan

BAU: Seorang lelaki tempatan berusia 18 tahun ditahan manakala rokok dan minuman keras disyaki tidak bercukai bernilai kira-kira RM92,000 dirampas dalam Op Taring Alpha 1 dan 2 yang dijalankan Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak.

Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A Rahman, berkata serbuan dijalankan kira-kira 10.15 pagi hari ini di sebuah kedai tidak bernama di Jalan Temenggong Salau, Bau hasil risikan Cawangan Risik Briged Sarawak PGA.

Beliau berkata pasukan polis membuat pemantauan selama kira-kira 30 minit sebelum menyerbu premis dan memperkenalkan diri kepada seorang pekerja lelaki yang berada di dalam kedai.

“Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai jenama rokok dan minuman keras yang disyaki tidak bercukai disimpan di premis berkenaan. Suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen pemilikan atau dokumen kastam yang sah bagi barangan tersebut,” katanya.

Mohd Haide berkata suspek, seorang warga tempatan dari Kampung Opar, Bau, ditahan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Antara rampasan ialah 99 karton pelbagai jenis minuman keras, 212 karton pelbagai jenama rokok serta sebuah buku bil.

Siasatan awal mendapati suspek telah bekerja di premis berkenaan selama kira-kira dua bulan dengan gaji RM1,700 sebulan. Suspek mendakwa barangan tersebut diperoleh daripada seorang lelaki tempatan di Kuching yang hanya dikenali sebagai “Paxi”, manakala gajinya dibayar secara tunai oleh seorang pekerja lain dikenali sebagai “Ah Nau”.

Kes diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Bau untuk siasatan lanjut dan permohonan reman terhadap suspek akan dibuat mengikut Seksyen 116C Akta Kastam 1967.