Calon bandar perlu berani, ikhlas dan bijak – Datuk Lily Yong

Facebook
WhatsApp
DATUK Lily Yong.

KUCHING: Calon yang bertanding di kawasan bandar, khususnya Padungan, perlu berani, ikhlas serta sanggup bersama rakyat terutama ketika berdepan cabaran, kata bekas Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Kuching, Datuk Lily Yong.

Lily Yong berkata, calon yang ideal perlu bersedia menangani isu-isu sukar serta benar-benar berkhidmat untuk rakyat.

“Tiada kerajaan yang mampu memuaskan hati semua pihak 100 peratus,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran dua bukunya hari ini.

Beliau berkata, pengundi bandar termasuk di Padungan mempunyai kesedaran politik yang tinggi dan lebih teliti dalam membuat penilaian, sekali gus menyukarkan sokongan diperoleh hanya melalui janji kosong atau kata-kata manis.

“Pengundi bandar bijak. Mereka melihat diri mereka sebagai majikan, manakala wakil rakyat adalah pekerja yang perlu berkhidmat kepada mereka,” katanya.

Lily Yong yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan dari 1996 hingga 2001 turut mengingatkan supaya calon tidak memandang rendah terhadap Chong Chieng Jen yang telah mewakili kawasan itu sejak 20 tahun lalu.

Ditanya mengenai calon yang sesuai bertanding di kawasan berkenaan pada pilihan raya akan datang, Lily Yong enggan mengulas lanjut dengan alasan beliau bukan lagi anggota parti berkenaan.

Beliau dipecat daripada SUPP pada Mac 2026 susulan pertikaian disiplin berkaitan inisiatif kebajikan negeri, Kad Kenyalang Gold (KGC), dan telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.

Oleh Connie Chieng