Insiden besar diisytiharkan selepas kebakaran hutan besar landa timur England

Facebook
WhatsApp
ASAP tebal kelihatan menyelubungi kawasan tanah bersemak di Dunwich Heath, Suffolk, susulan kebakaran hutan besar yang berlaku pada Rabu. Foto AGENSI

LONDON: Insiden besar diisytiharkan selepas kebakaran hutan besar berlaku pada Rabu di Suffolk, timur England, menyebabkan pemindahan penduduk apabila puluhan anggota bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran itu, lapor Anadolu Ajansi memetik media tempatan.

Insiden berkenaan diisytiharkan “berikutan saiz dan kerumitan” kebakaran yang merebak di kawasan tanah bersemak di pesisir Dunwich Heath, meliputi kawasan kira-kira seluas 14 padang bola sepak, menurut laporan BBC.

Tiada kecederaan dilaporkan, menurut Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Suffolk. Beberapa rumah kediaman dan taman karavan berhampiran dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Pihak berkuasa berkata tiada “risiko semasa terhadap Sizewell B”, iaitu loji tenaga nuklear yang terletak kira-kira 6.4 kilometer dari kawasan tanah bersemak itu, selepas kebakaran tercetus sejurus selepas 5.30 petang waktu tempatan (1630 GMT).

Kebakaran hutan itu berlaku selepas Agensi Alam Sekitar mengumumkan pada Rabu bahawa separuh daripada England secara rasmi diisytiharkan mengalami kemarau susulan jumlah hujan yang mencatat paras terendah serta tempoh suhu tinggi berpanjangan.

Agensi Keselamatan Kesihatan UK turut mengeluarkan amaran kesihatan akibat cuaca panas tahap jingga bagi kawasan East Midlands, timur England, tenggara England dan London bermula Rabu sehingga pagi Khamis.- Bernama-Anadolu

BMW bakal kurangkan 8,000 pekerja

BRUSSELS: Pengeluar kenderaan Jerman, BMW, akan mengurangkan kira-kira 8,000 pekerja dan kebanyakannya di Jerman, sebagai sebahagian daripada program pengurangan kos