BELADIN: Kehadiran gas mudah terbakar jenis metana (CH4) dan gas toksik hidrogen sulfida (H2S) dikesan di tapak pembinaan Dewan Serbaguna Terbuka Berbumbung Sekolah Kebangsaan (SK) Beladin, Kampung Hilir Beladin, dekat sini.
Kehadiran gas itu dikesan hasil pemantauan yang dijalankan Pasukan Bahan Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, hari ini.

Menurut kenyataan media Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak, operasi pemantauan berlangsung dari 12.00 tengah hari hingga 3.00 petang dengan penglibatan Pasukan Hazmat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan, Unit Drone JBPM, wakil sekolah serta kontraktor projek.
Katanya, pasukan Hazmat menjalankan pemantauan menggunakan peralatan khas termasuk Colorimetric Sampling Pump, 4 Gas Meter, kertas pH dan kertas litmus bagi mengenal pasti kehadiran gas di lokasi pembinaan.
Sebanyak dua siri bacaan diambil pada waktu berbeza di dua lubang galian yang terletak kira-kira 3.05 meter antara satu sama lain.
Selain itu, sampel cecair dan gas turut diambil untuk dianalisis dengan lebih lanjut di makmal bagi mengenal pasti kandungan sebenar bahan yang dikesan.
Pemantauan menggunakan dron berteknologi Infrared Thermal Imaging mendapati keadaan haba di lokasi adalah normal, namun pengeluaran gas masih berlaku di kedua-dua lubang berkenaan.
Bacaan pertama pada 1.20 tengah hari menunjukkan lubang pertama merekodkan bacaan Lower Explosive Limit (LEL) sebanyak 150 peratus tanpa kehadiran H2S, manakala kandungan oksigen ialah 20.2 peratus.
Di lubang kedua pula, bacaan LEL melebihi julat bacaan alat (Over-Range), H2S direkodkan pada 1.2 bahagian sejuta (ppm) dan kandungan oksigen sebanyak 18.1 peratus.
Bacaan kedua yang diambil pada 2.20 petang mendapati lubang pertama masih merekodkan LEL sebanyak 150 peratus tanpa H2S, dengan kandungan oksigen meningkat kepada 20.9 peratus.

Sementara itu, lubang kedua sekali lagi merekodkan bacaan LEL melebihi julat alat, H2S meningkat kepada 1.8 ppm manakala kandungan oksigen menurun kepada 16.3 peratus.
Menurut PGO JBPM Sarawak, hasil pemantauan mengesahkan kehadiran gas metana dan hidrogen sulfida di lokasi berkenaan.
Katanya, bacaan yang diperoleh menunjukkan terdapat risiko kebakaran atau letupan sekiranya wujud sumber nyalaan berhampiran kawasan berkenaan.
Selain itu, gas hidrogen sulfida dikenal pasti sebagai gas toksik yang boleh membahayakan kesihatan manusia sekiranya terdedah pada kepekatan tertentu.
Sehubungan itu, pihak bomba memaklumkan penemuan tersebut untuk tindakan lanjut oleh pihak berkaitan bagi memastikan aspek keselamatan di tapak pembinaan sentiasa terpelihara.
Oleh Adi Safarman





