CYBERJAYA: Sebanyak 77 menara telekomunikasi baharu disasar dibina sepanjang kira-kira 50 kilometer jajaran lebuh raya yang dikenal pasti tidak mempunyai liputan telekomunikasi memuaskan, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata sasaran itu merupakan antara hasil Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) hari ini bagi memperkukuh infrastruktur komunikasi di rangkaian lebuh raya negara.
Katanya pembangunan lebuh raya pintar memerlukan pembentukan ekosistem infrastruktur yang mengintegrasikan rangkaian jalan raya dengan infrastruktur komunikasi bagi menyokong pengurusan trafik masa nyata, pemantauan aset secara digital, sistem keselamatan yang lebih responsif serta pengalaman perjalanan yang lebih cekap kepada pengguna.
“Dalam konteks ini, kerjasama antara LLM dan MCMC amat penting kerana pembangunan lebuh raya pintar memerlukan penyelarasan yang kukuh antara infrastruktur jalan raya dan infrastruktur komunikasi.
“Malah, pelaksanaan pelbagai inisiatif masa hadapan termasuk Sistem Pengangkutan Pintar (ITS), analitik trafik berasaskan data serta pelaksanaan sistem Multi-Lane Fast Flow (MLFF) memerlukan tahap ketersediaan infrastruktur yang menyeluruh dan boleh dipercayai,” katanya ketika berucap pada majlis pertukaran MoU itu, di sini, hari ini.
Nanta bersama Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil menyaksikan permeteraian MoU itu yang diwakili Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Pengerusi LLM Datuk Seri Ir Hasni Mohammad.
Nanta berkata kerjasama antara MCMC dan LLM itu memberi tumpuan kepada beberapa lokasi yang berdepan cabaran geografi dan teknikal serta memerlukan pendekatan khusus.
“Lebuh raya telah menjadi koridor ekonomi strategik yang menghubungkan pusat perdagangan, kawasan perindustrian, pelabuhan, lapangan terbang dan komuniti di seluruh negara.
“Justeru, infrastruktur lebuh raya masa hadapan perlu dibangunkan dengan pendekatan yang lebih pintar, bersepadu dan berdaya tahan,” katanya.
Terdahulu, MCMC dan LLM memeterai MoU bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan infrastruktur komunikasi di sepanjang rangkaian lebuh raya negara.
MoU itu bertujuan mempercepat pembangunan infrastruktur digital yang bergerak seiring dengan pembangunan infrastruktur fizikal, sekali gus meningkatkan liputan dan kualiti perkhidmatan telekomunikasi serta menyokong pertumbuhan ekonomi negara. – Bernama




