SARATOK: Tujuh individu terbabit dalam satu kemalangan kendiri membabitkan sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza di Lebuh Raya Pan Borneo dekat Simpang Mudong, di sini, hari ini, dengan dua mangsa mengalami kecederaan ringan sebelum dikejarkan ke Hospital Saratok untuk menerima rawatan lanjut.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) APM Saratok menerima panggilan kecemasan daripada Hospital Saratok pada 11.04 pagi berhubung kejadian berkenaan.
Beliau berkata lima anggota APM bersama sebuah ambulans dan peralatan perubatan segera digerakkan ke lokasi pada 11.15 pagi sebelum tiba kira-kira 35 minit kemudian.
“Sebaik tiba di lokasi, anggota mendapati kemalangan kendiri itu melibatkan sebuah kereta dengan tujuh mangsa terdiri daripada seorang lelaki warga emas, seorang lelaki dewasa, tiga wanita dewasa dan dua kanak-kanak lelaki,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, Klinik Kesihatan Roban telah memohon bantuan ambulans APM Saratok bagi memindahkan dua mangsa ke Hospital Saratok untuk mendapatkan rawatan.
Katanya, lima mangsa lain dibawa menggunakan ambulans Klinik Kesihatan Roban, manakala seorang lelaki warga emas dan seorang kanak-kanak lelaki yang mengalami kecederaan ringan dipindahkan ke ambulans APM.
Mangsa yang berusia 65 tahun mengalami luka tercalar di bahagian dada tetapi berada dalam keadaan sedar.
Seorang lagi mangsa ialah seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun mengalami luka tercalar di bahagian dagu dan turut berada dalam keadaan sedar.
Nur Athirah berkata anggota APM memberikan rawatan awal kepada kedua-dua mangsa di dalam ambulans sebelum menghantar mereka ke Hospital Saratok untuk menerima rawatan lanjut.
Operasi menyelamat di lokasi selesai pada kira-kira tengah hari sebelum ambulans APM tiba di Hospital Saratok pada 12.35 tengah hari.
Beliau berkata operasi membabitkan lima anggota APM serta sebuah ambulans dan sebuah beg perubatan.
Punca kemalangan masih belum dapat dipastikan dan kes diserahkan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan lanjut.
Oleh Adi Safarman





