KUCHING: Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), Pengawal Pantai Sarawak menjalankan rondaan dan pemeriksaan menerusi OP Pukat di sekitar perairan Muara Tebas dan Sejingkat, semalam.
Operasi menggunakan aset air SC Satang 2502 itu bertujuan memastikan komuniti maritim serta pengusaha vesel mematuhi undang-undang dan mengutamakan keselamatan ketika berada di laut.

Dalam operasi berkenaan, sebanyak dua vesel diperiksa membabitkan sebuah bot persiaran yang dalam perjalanan ke limbungan dan sebuah vesel industri korek pasir yang sedang berlabuh.
Pemeriksaan meliputi dokumentasi, pengenalan diri kru serta ruang dalaman vesel.
Hasil pemeriksaan mendapati vesel industri berkenaan mempunyai kebenaran berlabuh daripada Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS), manakala kedua-dua vesel dibenarkan meneruskan aktiviti selepas pemeriksaan selesai.
UKPS turut mengingatkan semua pemilik, tekong dan pengusaha vesel supaya sentiasa mematuhi peraturan perairan ditetapkan serta mengutamakan keselamatan diri dan anak kapal sepanjang beroperasi di laut.
Oleh Afiq Sallehi




