KABONG: Pelaksanaan projek pembangunan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) terus dipergiat bagi memperkukuh kemudahan awam serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, pelaksanaan projek berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memastikan pembangunan luar bandar dilaksanakan secara menyeluruh serta memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri siri program yang melibatkan Notis Penyerahan Tapak dan Majlis Penyerahan Projek Siap bagi beberapa projek pembangunan di bawah peruntukan RTP dan BDDA di kawasan DUN Kabong, hari ini.

Menurutnya, antara projek yang dimulakan ialah projek menaik taraf pagar Sekolah Kebangsaan (SK) Engkabang serta jalan masuk utama dari pintu pagar ke kawasan sekolah menerusi sesi Notis Penyerahan Tapak.
Katanya, penyerahan tapak itu menandakan permulaan rasmi pelaksanaan projek kepada kontraktor yang dilantik bagi membolehkan kerja pembinaan dimulakan mengikut spesifikasi, jadual pelaksanaan dan piawaian yang ditetapkan.
Dalam pada itu, beliau turut menyaksikan majlis penyerahan projek siap menaik taraf Dewan LAKIN, Nyabor, Kabong yang kini sedia dimanfaatkan penduduk bagi pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Selain itu, majlis penyerahan projek siap pembinaan Surau Pantai Tanjung Kembang, Kabong turut diadakan bagi menyediakan kemudahan ibadah yang lebih selesa dan kondusif kepada penduduk setempat.
Chee Kadir berkata, penyediaan kemudahan awam yang moden dan berkualiti merupakan antara keutamaan kerajaan Sarawak dalam memastikan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar, menikmati kemudahan yang setanding dengan kawasan lain.
“Pelaksanaan projek RTP dan BDDA di DUN Kabong adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memperkukuh pembangunan luar bandar menerusi penyediaan infrastruktur yang lebih baik dan berdaya tahan.
“Projek-projek ini bukan sahaja meningkatkan aspek keselamatan dan keselesaan pengguna, malah memperkukuh kemudahan pendidikan, keagamaan serta prasarana komuniti,” katanya.

Beliau berkata, kemudahan yang dinaik taraf dan dibina itu dijangka memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk setempat, selain menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti sosial, pendidikan dan keagamaan.
Menurutnya, kejayaan melaksanakan projek berkenaan adalah hasil kerjasama erat antara kerajaan Sarawak, agensi pelaksana, kontraktor dan masyarakat setempat dalam memastikan setiap projek dapat disiapkan mengikut perancangan.
Turut hadir ialah wakil agensi pelaksana daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), kontraktor yang dilantik serta penerima projek berkaitan.
Chee Kadir berharap semua projek yang telah dimulakan dan disiapkan akan terus memberi manfaat berpanjangan kepada masyarakat di DUN Kabong, selain menjadi pemangkin kepada pembangunan luar bandar yang lebih mampan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak atas peruntukan yang disalurkan menerusi RTP dan BDDA, yang disifatkannya sebagai pemacu penting dalam merealisasikan pelbagai projek pembangunan bagi meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat di DUN Kabong.
Oleh Adi Safarman




