BEKENU: Program Jangkauan anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri di Balai Polis Bekenu menjadi platform memperkukuh kerjasama strategik antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan komuniti setempat dalam usaha meningkatkan keselamatan dan pencegahan jenayah.
Pelbagai pengisian diadakan sepanjang program, antaranya ceramah berkaitan jenayah, jenayah komersial, jenayah siber, penyalahgunaan dadah dan judi dalam talian (JOL), selain sesi dialog bersama pemimpin masyarakat, Program Amanita dan sesi ramah mesra.
Menurut kenyataan Polis Daerah Miri hari ini, program itu telah disempurnakan Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah yang turut hadir Timbalan Ketua Polis Daerah Miri, Superintenden Mohd Syafiq Jinuin Abdullah, pegawai-pegawai kanan polis, ketua-ketua polis balai, anggota PDRM.
Katanya, program tersebut bertujuan mendekatkan PDRM dengan masyarakat, meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai aspek keselamatan serta langkah pencegahan jenayah.
Di samping itu, juga mendapatkan pandangan dan maklum balas komuniti bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepolisan, kata kenyataan itu.
Turut hadir ialah Pemanca Dr Ali Mudin, ketua-ketua masyarakat dan kaum (KMKK) serta wakil Pejabat Daerah Subis.




