PETRA JAYA: Kira-kira 200 atlet bersama 300 penonton dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Indonesia dijangka memeriahkan Kejohanan Tenis Jemputan Persatuan Tenis Bumiputera Sarawak (PTBS) 2026 yang berlangsung dari 6 hingga 9 Ogos ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kejohanan yang memasuki edisi ketiga itu bukan sahaja menjadi medan persaingan, malah berperanan memperkukuh pembangunan atlet, merancakkan pelancongan sukan serta merangsang aktiviti ekonomi tempatan.
Katanya, kejohanan itu menggunakan format acara berpasukan membabitkan 14 pasukan yang akan bersaing dalam empat kategori beregu mengikut kumpulan umur bagi merebut hadiah keseluruhan RM17,000, termasuk hadiah wang tunai RM6,000 kepada pasukan yang muncul juara

“Sebanyak 14 pasukan bakal berentap pada kejohanan edisi ketiga PTBS, penyertaan adalah dari kelab tenis dari Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Indonesia , khususnya Kalimantan Barat,” beliau berkata demikian pada sidang media Kejohanan Tenis Jemputan PTBS 2026 di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.
Menurutnya, kejohanan itu akan berlangsung di Gelanggang Tenis PTBS dan Gelanggang Tenis Kelab Golf Sarawak dengan menggunakan format acara berpasukan yang mempertandingkan empat kategori beregu mengikut kumpulan umur.
Katanya, kategori yang dipertandingkan ialah Beregu Lelaki (30 tahun ke atas dan 40 tahun ke atas), Beregu Lelaki (45 tahun ke atas dan 55 tahun ke atas), Beregu Lelaki (56 tahun ke atas dan 60 tahun ke atas) serta Beregu Campuran (40 tahun ke atas dan 50 tahun ke atas).
“Pasukan yang bertanding akan merebut hadiah keseluruhan berjumlah RM17,000, termasuk RM6,000 kepada juara, sekali gus mencerminkan komitmen PTBS untuk terus meningkatkan standard, daya saing dan prestij kejohanan ini,” katanya.
Abdul Karim berkata, penyertaan pasukan dari Samarahan, Sibu, Mukah, Bintulu serta PTBS sendiri membuktikan perkembangan positif sukan tenis di seluruh Sarawak hasil usaha pembangunan bakat di peringkat akar umbi.
Menurutnya, tenis kekal sebagai antara sukan teras di Sarawak dan Malaysia yang memainkan peranan penting dalam melahirkan atlet untuk mewakili negeri serta negara di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Beliau berkata, kejohanan seperti itu menyediakan platform penting untuk mencungkil bakat baharu, menggalakkan penyertaan berterusan dalam sukan serta membudayakan kecemerlangan dalam kalangan pemain.
“Selain menjadi medan pertandingan, kejohanan ini turut mengeratkan hubungan serantau serta memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai destinasi pilihan bagi pelancongan sukan dan penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat





