Mahkamah Persekutuan dengar dua persoalan undang-undang dikemuka Na’imah pada 8 Oktober

Facebook
WhatsApp
KES NA’IMAH… Mahkamah Persekutuan akan mendengar dua persoalan undang-undang yang dikemukakan Toh Puan Na’imah Abdul Khalid berhubung pertuduhan gagal mengisytiharkan harta pada 8 Oktober ini. Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR: Dua persoalan undang-undang yang dikemukakan Toh Puan Na’imah Abdul Khalid berhubung pertuduhan gagal mengisytiharkan harta akan didengar di Mahkamah Persekutuan pada 8 Oktober.

Peguam Izyan Azimi yang mewakili balu bekas Menteri Kewangan Allahyarham Tun Daim Zainuddin itu memaklumkan perkara tersebut kepada Hakim Mahkamah Sesyen Azrul Darus pada sebutan kes hari ini. 

“Pihak kami mohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan seterusnya bagi pihak-pihak memaklumkan status persoalan undang-undang tersebut dan kami mohon pengecualian kehadiran tertuduh pada prosiding itu,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) P. Rubini turut mengesahkan tarikh pendengaran itu. Beliau mengendalikan kes bersama-sama Pegawai Pendakwa SPRM Fatin Farhana Ismail.

Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 15 Oktober untuk kedua-dua pihak memaklumkan status persoalan undang-undang itu.

Pada 29 Februari 2024, Na’imah memfailkan permohonan untuk merujuk persoalan undang-undang membabitkan Seksyen 30(5), Seksyen 36(2) dan Seksyen 62 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 32(3)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 ke Mahkamah Tinggi.

Pada 4 Mac, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Arief Emran Arifin membenarkan dua persoalan undang-undang itu didengar di Mahkamah Persekutuan.

Persoalan pertama ialah sama ada Seksyen 30(5) dan 36(2) Akta SPRM 2009 melanggar hak terhadap perlindungan daripada menyalahkan diri sendiri atau hak untuk tidak dipaksa mengemukakan bukti yang menunjukkan seseorang bersalah atau hak untuk berdiam diri atau prinsip anggapan tidak bersalah atau hak kepada perbicaraan yang adil dan melanggar Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.

Persoalan kedua pula sama ada Seksyen 30(5) dan 36(2) Akta SPRM 2009 memenuhi ujian kekadaran tiga peringkat sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Pada 23 Januari 2024, Na’imah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan gagal mematuhi notis agar mengisytiharkan hartanya termasuk Menara Ilham serta beberapa aset lain di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda RM100,000, jika sabit kesalahan. – Bernama