NEW YORK: Liverpool meneruskan rentak cemerlang di bawah kendalian jurulatih baharu Andoni Iraola selepas menewaskan Wrexham 1-0 dalam aksi persahabatan pramusim di Stadium Yankee, New York, pada Rabu.
Penyerang remaja Rio Ngumoha muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-75, sekali gus menceriakan lebih 42,000 penyokong yang majoritinya menyokong Liverpool di stadium ikonik yang menjadi gelanggang pasukan besbol New York Yankees dan kelab MLS, New York City FC.
Kemenangan itu menyusuli kejayaan 4-2 ke atas Sunderland di Nashville pada Sabtu lalu, yang juga merupakan perlawanan pertama Iraola sejak bekas pengendali Bournemouth itu menggantikan Arne Slot yang dipecat.
Bagaimanapun, kemenangan ke atas Sunderland dicemari kecederaan pertahanan Joe Gomez, yang sekali lagi tidak diturunkan menentang Wrexham.
Turut tidak beraksi ialah pemain baharu Jeremy Jacquet serta beberapa pemain yang baru selesai beraksi di Piala Dunia iaitu Ryan Gravenberch, Florian Wirtz dan Alexander Isak.
Sebelum perlawanan, Iraola berkata Gravenberch (Belanda), Wirtz (Jerman) dan Isak (Sweden) berkemungkinan kembali beraksi dalam aksi terakhir jelajah pramusim Liverpool di Amerika Syarikat menentang Leeds di Soldier Field, Chicago pada Ahad.
Sementara itu, Wrexham yang dimiliki bintang Hollywood Ryan Reynolds dan Rob McElhenney terus mencuri perhatian sejak beberapa tahun kebelakangan ini, namun gagal mara ke playoff divisyen kedua kejohanan pada hari terakhir musim lalu.
Anak buah Phil Parkinson hadir ke Stadium Yankee selepas mencatat kemenangan pramusim ke atas Manchester United dan Leeds. – AFP





