Lima maut, angin kencang cetus huru-hara di Rio, Sao Paulo

Facebook
WhatsApp
SEPOHON pokok tumbang dan beberapa tiang utiliti yang rebah menghalang sebuah jalan kediaman selepas tiupan angin kencang susulan ketibaan sistem udara sejuk di Rio de Janeiro, Brazil, pada 29 Julai 2026.

RIO DE JANEIRO: Lima maut selepas angin kencang melanda Brazil, mencetuskan huru-hara di Rio de Janeiro dan beberapa kawasan di negeri Sao Paulo sehingga menyebabkan gangguan bekalan elektrik serta melumpuhkan perkhidmatan pengangkutan awam.

Penduduk Rio de Janeiro dikejutkan apabila angin berkelajuan sehingga 100 kilometer sejam melanda sejurus sebelum waktu puncak, menumbangkan puluhan pokok dan menyebabkan ribuan terkandas apabila ketiga-tiga laluan sistem kereta api bawah tanah bandar itu terhenti.

Jabatan Bomba dalam satu kenyataan memaklumkan dua maut selepas sebuah tembok runtuh di bandar Rio de Janeiro, manakala seorang nelayan dilaporkan hilang di bandar pesisir Tarituba.

SEPOHON pokok tumbang kelihatan di tepi Avenida das Americas di kawasan kejiranan Recreio dos Bandeirantes ketika penduduk berjalan melaluinya selepas tiupan angin kencang susulan ketibaan sistem udara sejuk di Rio de Janeiro, Brazil, pada 29 Julai 2026. Foto AFP

Di Santos, negeri Sao Paulo, tiupan angin yang mencecah 111 kilometer sejam mengakibatkan kerosakan besar, selain menyebabkan seorang gelandangan maut dihempap pokok tumbang, menurut kenyataan pihak berkuasa tempatan.

Operasi di beberapa lapangan terbang utama di Rio de Janeiro dan Sao Paulo turut terjejas.

Lapangan Terbang Santos Dumont, yang mengendalikan kebanyakan penerbangan domestik di pusat bandar Rio, memaklumkan kepada AFP bahawa operasinya digantung selama kira-kira dua jam.

Menurut Jabatan Bomba Rio, lebih 90 batang pokok tumbang akibat angin kencang itu. Banyak kawasan di bandar berkenaan mengalami gangguan bekalan elektrik sebelum bekalan dipulihkan.

Di kawasan kejiranan kelas pertengahan Botafogo, dua batang pokok besar tumbang di kedua-dua belah sebuah gerai akhbar milik Patrick Diego, 39, yang telah beroperasi di situ selama lebih 20 tahun.

SEPOHON pokok tumbang menghalang pembahagi jalan di Avenida das Américas selepas tiupan angin kencang susulan ketibaan sistem udara sejuk di kawasan kejiranan Recreio dos Bandeirantes, Rio de Janeiro, Brazil, pada 29 Julai 2026. Foto AFP

“Mujur pokok-pokok itu tumbang secara perlahan dan tidak mencederakan sesiapa. Satu-satunya kerosakan ialah gerai akhbar saya beralih daripada kedudukan asal,” katanya.

“Keadaan benar-benar huru-hara,” kata pengurus bangunan, Paula Rubim, 53, kepada AFP sambil memaklumkan keseluruhan jalan ditutup kepada lalu lintas serta mengadu perkhidmatan kereta api bawah tanah terhenti sepenuhnya.

Pusat Operasi Dewan Bandaraya Rio memaklumkan angin kencang itu berpunca daripada penghampiran satu sistem baharu udara sejuk dari lautan.

Angin kencang itu melanda ketika cuaca panas dan cerah. Rakaman video menunjukkan orang ramai meninggalkan pantai Ipanema dan Copacabana secara beramai-ramai apabila tiupan angin menerbangkan pasir serta menghanyutkan payung dan kerusi pantai. – AFP

BMW bakal kurangkan 8,000 pekerja

BRUSSELS: Pengeluar kenderaan Jerman, BMW, akan mengurangkan kira-kira 8,000 pekerja dan kebanyakannya di Jerman, sebagai sebahagian daripada program pengurangan kos

Amaran gelombang haba di Seoul

SEOUL: Agensi cuaca negeri mengeluarkan amaran gelombang haba bagi kebanyakan kawasan di Seoul pada Rabu, iaitu amaran kedua bagi ibu negara