SMK Kubong wakili Sarawak ke Forum Remaja MADANI kebangsaan

Facebook
WhatsApp
SMK Kubong, Limbang muncul juara Pertandingan Forum Remaja MADANI Piala Pusingan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Peringkat Negeri Sarawak 2026. Foto JaPEN Sarawak

KUCHING: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubong, Limbang muncul juara Pertandingan Forum Remaja MADANI Piala Pusingan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Peringkat Negeri Sarawak 2026 yang berlangsung di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, hari ini.

Kemenangan itu melayakkan SMK Kubong membawa pulang hadiah wang tunai RM2,500 serta mewakili Sarawak pada Pertandingan Forum Remaja MADANI Peringkat Kebangsaan 2026.

Selain bergelar juara, SMK Kubong turut membolot tiga anugerah khas, iaitu Montaj Terbaik, Ahli Forum Terbaik dan Pengerusi Terbaik yang masing-masing menawarkan hadiah wang tunai RM300.

Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, yang diiringi isterinya, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

Naib juara dimenangi SMK Agama Sheikh Haji Othman Abdul Wahab (SHOAW), Kuching yang membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, manakala tempat ketiga menjadi milik SMK Kabong, Betong.

SMK Methodist Sibu dan SMK Bintulu pula masing-masing menerima hadiah saguhati berupa wang tunai RM500.

Kesemua lima pasukan yang layak ke peringkat akhir turut menerima Dana Silang Budaya Pelbagai Kaum berjumlah RM5,000 sebagai galakan untuk memperkukuh aktiviti perpaduan dan integrasi dalam kalangan pelajar. Mereka turut menerima buku terbitan DBP serta sijil pengiktirafan.

KENANGAN…Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi merakam gambar kenangan bersama para pemenang Pertandingan Forum Remaja MADANI Piala Pusingan TYT Negeri Sarawak 2026 di Balai Budaya, DBP Cawangan Sarawak, Kuching, hari ini. Foto JaPEN Sarawak

Terdahulu, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Setiausaha kementerian itu, Caroline Cleophas Joseph berkata, kerajaan Sarawak komited menyokong pelbagai inisiatif yang memperkasa agenda pendidikan inklusif dan progresif.

Menurut beliau, usaha itu selaras dengan aspirasi Sarawak Maju Makmur 2030 untuk melahirkan modal insan yang berdaya saing, berfikiran kritis, berpandangan jauh serta mempunyai jati diri yang kukuh berteraskan agama, bangsa dan negara.

Beliau berkata, kementerian itu juga terus mempergiat program pembangunan bakat, inovasi digital dan pemerkasaan guru, selain menyifatkan pertandingan forum anjuran DBP sebagai sebahagian daripada ekosistem pendidikan yang menyokong pembangunan modal insan berkualiti.

Program Forum Remaja MADANI merupakan program tahunan anjuran DBP yang diperkenalkan sejak 1989. Bermula pada 2025, pertandingan itu dijenamakan semula dengan penambahbaikan konsep bagi memenuhi keperluan semasa serta memperkukuh penghayatan nilai-nilai Malaysia MADANI.

Pertandingan itu bertujuan memperkasakan penggunaan bahasa Melayu menerusi forum, perbincangan dan penghujahan yang berkualiti, di samping mengasah kemahiran berfikir secara kritis, berkomunikasi secara berkesan serta membentuk kepimpinan dalam kalangan remaja.

Sebanyak 50 pasukan dari seluruh Sarawak menyertai pertandingan tahun ini, namun hanya lima pasukan terbaik berjaya mara ke peringkat akhir.

Pertandingan akhir diadili oleh lima panel hakim yang diketuai Timbalan Dekan Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Santrol Abdullah.