KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap berkata, pembinaan Surau Al-Mukhlis baharu di Kampung Stutong Baru membuktikan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memastikan pembangunan inklusif serta penyediaan kemudahan awam yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.
Berucap pada Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (LOA) dan Penyerahan Tapak kepada kontraktor bagi projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bernilai RM600,000 itu, beliau berkata, surau berkenaan bukan sahaja menjadi tempat ibadah, malah berperanan sebagai pusat pendidikan, pembangunan sahsiah dan pengukuhan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk.
“Pembinaan Surau Al-Mukhlis merupakan satu pelaburan untuk kesejahteraan masyarakat. Selain menjadi tempat ibadah, surau ini akan memperkukuh hubungan antara masyarakat serta menyokong aktiviti pendidikan dan pembangunan sahsiah,” katanya.
Beliau berkata, kepelbagaian agama dan budaya di Sarawak sentiasa dihormati, manakala penyediaan kemudahan seperti itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memupuk perpaduan serta memenuhi keperluan masyarakat.
Yap turut berharap kontraktor yang dilantik dapat melaksanakan projek berkenaan mengikut spesifikasi ditetapkan, menepati jadual pelaksanaan serta memastikan kualiti kerja berada pada tahap terbaik.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak selaku agensi pelaksana, jawatankuasa surau serta semua pihak yang terlibat, sambil berharap Surau Al-Mukhlis akan terus menjadi pusat ibadah, pendidikan dan perpaduan masyarakat Kampung Stutong Baru pada masa hadapan.
Oleh Connie Chieng



