Beberapa jalan utama di Bintulu ditutup sementara sempena Maraton Bintulu 2026

Facebook
WhatsApp
PENUTUPAN jalan dari lampu isyarat Jalan Tun Ahmad Zaidi ke jambatan Tun Taib Mahmud

BINTULU: Beberapa jalan utama di sekitar bandar Bintulu akan ditutup sementara bermula 1 Ogos hingga 2 Ogos ini bagi memberi laluan kepada penganjuran Maraton Bintulu 2026 yang dijadual berlangsung pada 2 Ogos.

Menurut hebahan penganjur, penutupan jalan akan bermula pada 1 Ogos, 8.00 malam dan berakhir pada 2 Ogos, 10.00 pagi melibatkan beberapa laluan utama yang menjadi sebahagian daripada laluan maraton.

LALUAN 21.1 kilometer.

Antara laluan yang terlibat ialah Jalan Tun Ahmad Zaidi di Tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu yang akan ditutup sepenuhnya sepanjang tempoh tersebut.

Selain itu, bermula 2 Ogos dari 1.00 pagi hingga 10.00 pagi, beberapa lagi laluan akan ditutup sementara iaitu Jalan Tun Ahmad Zaidi, laluan dari lampu isyarat Jalan Tun Ahmad Zaidi menuju Jambatan Tun Taib Mahmud, Bulatan Jalan Kuala Tatau ke Jalan Tun Ahmad Zaidi serta Jalan Tun Razak.

Sepanjang tempoh penutupan, kawalan lalu lintas akan dikendalikan oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan bantuan petugas lain bagi memastikan kelancaran aliran trafik serta keselamatan pengguna jalan raya. Jalan-jalan yang terlibat akan dibuka semula sebaik sahaja acara tamat.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal, memandu dengan berhati-hati dan mematuhi arahan anggota polis serta petugas trafik yang ditempatkan di lokasi penutupan.

Oleh Faizah Muzidi