Tempoh maksimum sewa PPR di Sarawak dipanjangkan kepada 10 tahun

Facebook
WhatsApp
PAPARAN slaid yang menerangkan dasar baharu PPR Sewa termasuk penambahbaikan tempoh penyewaan dan syarat kelayakan penyewa.

BINTULU: Tempoh maksimum penyewaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sewa di Sarawak kini dipanjangkan kepada 10 tahun menerusi penambahbaikan dasar Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC), sekali gus memberi jaminan kediaman yang lebih stabil kepada golongan yang layak.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Fathi Hambali, ketika menyampaikan taklimat mengenai kriteria dan dasar terkini PPR pada Sesi Penerangan HDC bersama wakil penduduk PPR Sewa Bandaria Park di sebuah hotel di sini, hari ini.

PAPARAN slaid yang menerangkan dasar baharu PPR Sewa termasuk penambahbaikan tempoh penyewaan dan syarat kelayakan penyewa.

Beliau berkata, penambahbaikan dasar tersebut dilaksanakan bagi membolehkan penyewa yang memenuhi syarat kelayakan menikmati tempoh penyewaan yang lebih panjang, sekali gus memastikan skim PPR Sewa terus memberi manfaat kepada golongan sasar.

Menurutnya, tempoh penyewaan yang sebelum ini dihadkan kepada enam tahun kini dipanjangkan kepada maksimum 10 tahun, iaitu enam tahun tempoh asal, diikuti lanjutan dua tahun dan tambahan dua tahun lagi, tertakluk kepada syarat serta penilaian yang ditetapkan.

“Tempoh penyewaan kini dipanjangkan daripada enam tahun kepada maksimum 10 tahun. Lanjutan diberikan secara berperingkat berdasarkan penilaian dan syarat yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, langkah itu memberi peluang kepada penyewa yang masih memenuhi kriteria untuk terus mendiami kediaman berkenaan, di samping membantu mereka merancang keperluan perumahan keluarga dengan lebih baik.

Dalam pada itu, Fathi berkata, pemohon PPR Sewa mestilah warganegara Malaysia yang bermastautin di Sarawak, memiliki MyKad berstatus ‘K’, berumur antara 18 hingga 65 tahun, serta terdiri daripada pasangan berkahwin, ibu atau bapa tunggal atau individu yang mempunyai tanggungan.

Selain itu, katanya, pemohon perlu memenuhi syarat pendapatan isi rumah yang ditetapkan serta tidak memiliki rumah sendiri atau tanah yang sesuai untuk pembinaan rumah.

“Pemahaman yang jelas mengenai kriteria dan dasar ini penting supaya setiap penyewa mengetahui hak, tanggungjawab serta syarat yang perlu dipatuhi sepanjang tempoh penyewaan,” katanya.

Sesi penerangan itu turut memberi peluang kepada wakil penduduk PPR Sewa Bandaria Park mendapatkan penjelasan secara langsung daripada HDC berhubung pelaksanaan dasar baharu, selain mengemukakan pandangan dan cadangan bagi memperkukuh pengurusan perumahan tersebut.

HDC berharap penambahbaikan dasar itu dapat meningkatkan keberkesanan pelaksanaan PPR Sewa di Sarawak, sekali gus memastikan lebih ramai rakyat yang layak berpeluang menikmati kediaman yang selesa, selamat dan mampu disewa.

Penduduk yang memerlukan penjelasan lanjut mengenai permohonan lanjutan tempoh penyewaan boleh mendapatkan maklumat di Pejabat Tapak HDC, Blok L, PPR Bandaria Park, Jalan Bintulu-Tatau atau di Ibu Pejabat HDC di Kuching.

Oleh Faizah Muzidi