SPAOH: Rumah Panjang Penom mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi lokasi penganjuran Borneo Interwoven: Jalinan Borneo 2026, sebuah program pertukaran ilmu serantau yang menghimpunkan penggiat tekstil, penenun, penyelidik, pereka dan pemegang warisan budaya dari seluruh Borneo serta beberapa negara ASEAN.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata program selama lima hari bermula semalam hingga 31 Julai itu memberi tumpuan kepada perkongsian ilmu mengenai amalan tenunan, inovasi penggunaan gentian semula jadi, pewarna asli serta budaya material yang menjadi identiti masyarakat di rantau ini.

Beliau berkata program itu dilaksanakan menerusi pendekatan berasaskan komuniti yang meletakkan artisan sebagai pemegang ilmu utama dalam usaha memelihara warisan budaya tidak ketara.
“Program seperti ini penting untuk mengangkat artisan sebagai pemegang ilmu yang menjadi tunjang kepada usaha memelihara warisan budaya tidak ketara,” katanya ketika berucap pada program berkenaan di Rumah Panjang Mendit Unsu, Penom, Ulu Paku di sini, semalam.
Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata penganjuran program di Rumah Panjang Penom yang masih dihuni lebih 20 pintu keluarga menawarkan pengalaman berbeza berbanding persidangan konvensional.
Menurut beliau, pendekatan itu membolehkan peserta bukan sahaja mengikuti bengkel, demonstrasi dan sesi dialog, malah merasai sendiri kehidupan komuniti rumah panjang yang menjadi sebahagian daripada ekosistem warisan tenunan Sarawak.
Beliau berkata pemilihan rumah panjang sebagai lokasi penganjuran turut memberi nilai tambah kerana peserta berpeluang berinteraksi secara langsung dengan masyarakat setempat serta memahami bagaimana seni tenunan terus dipelihara dalam kehidupan harian.

Program yang julung kali diadakan di Rumah Panjang Mendit Unsu itu menghimpunkan pengamal tekstil dari Sarawak, Sabah, Kalimantan, Brunei serta beberapa negara ASEAN dalam satu platform yang menggalakkan pertukaran idea, pengalaman dan kepakaran merentasi sempadan.
Walaupun datang daripada latar budaya dan bahasa yang berbeza, semua peserta berkongsi minat yang sama terhadap seni tekstil tradisional yang menjadi warisan bersama masyarakat di rantau Borneo.
Sepanjang lima hari penganjuran, pelbagai aktiviti diadakan termasuk sesi perkongsian ilmu, bengkel amali, demonstrasi teknik tenunan, pameran hasil kraf serta platform memperluaskan akses pasaran bagi produk artisan.
Program itu turut membuka peluang kepada peserta membina rangkaian kerjasama baharu dalam usaha memperkasakan industri tekstil tradisional di peringkat serantau.
Borneo Interwoven: Jalinan Borneo 2026 juga dilihat sebagai platform strategik yang menghubungkan komuniti penggiat tekstil bagi memastikan ilmu tradisional terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang melalui pembelajaran, penyelidikan serta kolaborasi.
Selain mempromosikan kepelbagaian tradisi tenunan Borneo kepada masyarakat antarabangsa, program itu turut menyokong kelestarian ekonomi artisan, memperkukuh pemeliharaan warisan budaya tidak ketara serta menggalakkan dialog lebih erat antara komuniti, pereka, penyelidik dan pembuat dasar.
Penganjuran program berkenaan disokong oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP), Sarawak Business Events, Tribe Legacy Sarawak Campaign, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta PERANTIS.
Uggah berkata beliau berharap Borneo Interwoven: Jalinan Borneo 2026 menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerjasama rentas negara, sekali gus memperkukuh jaringan penggiat tekstil di rantau ini serta menghasilkan cadangan yang mampu menyumbang kepada pembangunan dan pemeliharaan warisan budaya untuk generasi akan datang, khususnya di Bukit Saban.
Oleh Adi Safarman





