Kebakaran tapak pelupusan sampah Lingga berjaya dipadam sepenuhnya selepas tiga hari operasi

Facebook
WhatsApp
KEBAKARAN di tapak pelupusan sampah di Lingga berjaya dipadam sepenuhnya selepas operasi pemadaman yang berlangsung selama tiga hari. Foto PGO Bomba Sarawak

LINGGA: Kebakaran di tapak pelupusan sampah di Lingga berjaya dipadam sepenuhnya selepas operasi pemadaman yang berlangsung selama tiga hari, sekali gus mengawal sepenuhnya risiko kemerebakan api di kawasan berkenaan.

Menurut kenyataan media Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 8.02 malam Ahad lalu, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 49 kilometer dari balai.

Pasukan bomba tiba di lokasi pada 8.52 malam dan memulakan operasi pemadaman yang diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Mohamad Fadhli Buyong.

Pada hari ketiga operasi hari ini, bomba menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki bersama dua nozel dengan sumber air terbuka bagi melaksanakan kerja pemadaman serta kaedah pengairan penuh (total flooding) di seluruh kawasan yang terbakar.

PGO memaklumkan sehingga 2.00 petang, kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya dan hanya terdapat sedikit kepulan asap keluar daripada longgokan sampah.

Menurut kenyataan itu, keadaan di lokasi kini terkawal sepenuhnya dan tiada lagi faktor yang boleh menyebabkan api merebak berikutan kerja total flooding serta pembinaan jalur pemisah kebakaran (firebreak) di sekitar kawasan kebakaran.

Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) turut menyediakan sebuah jengkaut bagi memudahkan akses ke lokasi selain membantu pembinaan ‘firebreak’ sepanjang operasi dijalankan.

Operasi melibatkan tujuh anggota BBP Sri Aman dengan kekuatan sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah van Urvan, manakala agensi lain yang turut membantu ialah MDSA, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) serta kontraktor yang menyediakan jengkaut.

Operasi ditamatkan pada 2.30 petang hari ini selepas kebakaran yang melibatkan kawasan seluas kira-kira satu ekar berjaya dipadam sepenuhnya. 

Tindakan susulan kini diserahkan kepada MDSA dan kontraktor yang dilantik, sementara BBP Sri Aman akan terus memantau keadaan di lokasi bagi memastikan tiada lagi risiko kebakaran berulang.

Oleh Adi Safarman

Enjin Pajero terbakar di Jalan Nanas

KUCHING: Sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mitsubishi Pajero mengalami kebakaran di bahagian enjin dalam kejadian di hadapan Sekolah Jenis