Bursa Malaysia dibuka rendah susulan langkah berhati-hati menjelang mesyuarat FOMC

Facebook
WhatsApp
Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah pada Selasa susulan sentimen serantau yang lemah berikutan pelabur mengambil pendekatan berhati-hati menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) yang dijadualkan hari ini dan esok selain pengumuman prestasi kewangan syarikat teknologi utama AS.

Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 6.76 mata kepada 1,706.33 daripada 1,713.09 ketika ditutup semalam.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 1.14 mata kepada 1,711.95.

Pasaran secara menyeluruh negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 338 berbanding 96 manakala 326 kaunter tidak berubah, 2,020 tidak diniagakan dan 36 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 282.61 juta saham bernilai RM146.30 juta.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata berkata pelabur di pasaran Asia kini menantikan keputusan mesyuarat Jawatankuasa FOMC AS serta laporan pendapatan syarikat-syarikat teknologi utama negara itu.

Keputusan kewangan suku kedua bagi Meta Platforms Inc., Microsoft Corporation, Amazon.com Inc. dan Apple Inc. dijadual diumumkan dalam masa terdekat.

“Oleh itu, pelabur mengambil peluang untuk merealisasikan keuntungan dan memilih pendekatan tunggu dan lihat,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, beberapa data makroekonomi penting juga akan dikeluarkan termasuk keputusan dasar monetari Rizab Persekutuan, data senarai gaji bukan ladang dan angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maxis, Hong Leong Bank, Mr D.I.Y. dan Kuala Lumpur Kepong masing-masing tidak berubah pada RM3.55, RM22.10, RM1.59 dan RM20.82 manakala Petronas Chemicals meningkat dua sen kepada RM17.72.

Bagi saham aktif, Zetrix AI susut satu sen kepada 67.5 sen, Nationgate merosot enam sen kepada RM1.06, Tanco turun setengah sen kepada 24 sen manakala SNS Network Technology naik satu sen kepada 57 sen dan TWL Holdings menambah setengah sen kepada 25 sen.

Dalam kalangan kaunter paling untung, United Plantations melonjak 30 sen kepada RM33.33, Dutch Lady Milk Industries meningkat 18 sen kepada RM32.00, British American Tobacco dan MHC Plantations masing-masing naik lima sen kepada RM4.93 dan RM1.93 manakala QL Resources menokok tiga sen kepada RM3.97.

Malaysian Pacific Industries pula mendahului senarai kaunter rugi apabila susut 92 sen kepada RM45.14, Allianz Malaysia turun 30 sen kepada RM21.00, UMS Integration merosot 28 sen kepada RM7.62, Fraser & Neave susut 22 sen kepada RM27.62 dan Kelington rendah 17 sen kepada RM8.04.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 50.52 mata kepada 12,612.65, Indeks FBMT 100 turun 48.27 mata kepada 12,443.40 manakala Indeks FBM Mid 70 berkurangan 64.93 mata kepada 17,905.08.

Indeks FBM Emas Shariah susut 50.87 mata kepada 12,435.99 dan Indeks FBM ACE merosot 41.18 mata kepada 4,877.69.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan rendah 63.67 mata kepada 20,177, Indeks Tenaga turun 2.68 mata kepada 766.66, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.14 mata kepada 185.70 manakala Indeks Perladangan berkurangan 20.47 mata kepada 9,264.03. – Bernama