SARATOK: Sebanyak 248 unit lampu solar bakal dipasang di 81 lokaliti di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian menerusi pelaksanaan projek lampu solar fasa dua.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata, perbincangan lanjut perlu diadakan bagi memperhalusi senarai penerima sebelum proses penghantaran, pengagihan dan pemasangan dilaksanakan oleh kontraktor yang dipilih.
Menurutnya, projek berkenaan melibatkan pemasangan lampu solar di beberapa kategori lokasi, termasuk rumah panjang, gereja dan sekolah berdasarkan permohonan yang telah diterima.
“Untuk fasa dua ini, sebanyak 248 unit lampu solar akan dipasang di 81 lokaliti berdasarkan permohonan yang diterima.
“Perbincangan perlu diadakan untuk memperhalusi senarai penerima sebelum proses penghantaran, pengagihan dan pemasangan dilaksanakan oleh kontraktor yang dipilih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan sesi libat urus bersama pihak Majlis Daerah Saratok berkaitan pelaksanaan projek lampu solar fasa dua bagi DUN Krian, semalam.
Friday berkata, proses pengagihan dan pemasangan lampu solar berkenaan dijangka dilaksanakan dalam tempoh terdekat selepas segala persiapan dan penyelarasan berkaitan selesai.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa pelaksanaan projek tersebut akan diteruskan menerusi fasa tiga dalam masa terdekat.
Katanya, kesinambungan projek berkenaan memperlihatkan usaha berterusan untuk memperluaskan kemudahan pencahayaan alternatif di kawasan luar bandar, khususnya di lokasi yang memerlukannya.
Untuk rekod, projek lampu solar bagi DUN Krian itu menggunakan peruntukan daripada Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) bagi membantu memenuhi keperluan kemudahan asas masyarakat setempat.
Oleh Adi Safarman





