ADUN Kabong santuni pesakit di Hospital Sarikei, suntik semangat jalani rawatan

Facebook
WhatsApp
DATO Mohd Chee Kadir dan Datin Meryani Yassin mengadakan lawatan kebajikan ke Hospital Sarikei bagi menziarahi beberapa pesakit dari kawasan Kabong yang sedang menerima rawatan, semalam. Foto: ADUN Kabong

SARIKEI: Prihatin terhadap kebajikan rakyat tanpa mengira keadaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir bersama isterinya, Datin Meryani Yassin mengadakan lawatan kebajikan ke Hospital Sarikei bagi menziarahi beberapa pesakit dari kawasan Kabong yang sedang menerima rawatan.

Lawatan yang berlangsung semalam itu bertujuan menyampaikan sokongan moral serta memberi semangat kepada pesakit dan ahli keluarga mereka agar terus tabah menghadapi ujian kesihatan.

Chee Kadir berkata, amalan menziarahi pesakit merupakan antara tanggungjawab sosial yang perlu diteruskan kerana ia mampu memberikan suntikan semangat kepada mereka yang sedang berdepan cabaran kesihatan.

Beliau berkata, kehadiran pemimpin bersama masyarakat bukan sahaja memperlihatkan keprihatinan, malah menjadi bukti bahawa kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian tanpa mengira masa dan keadaan.

Antara pesakit yang diziarahi ialah Salleh Elah, 57, dari Kampung Hilir Kabong yang menerima rawatan akibat masalah paru-paru dan telah dimasukkan ke Hospital Sarikei sejak 6 Julai lalu.

Turut diziarahi ialah Sabarina Sapaji yang sedang menjalani rawatan susulan selepas terlibat dalam kemalangan dan dimasukkan ke hospital sejak 16 Julai, serta Dayun Sanggir dari Rumah Kuchon yang dimasukkan ke wad pada 25 Julai.

Sepanjang lawatan itu, Chee Kadir turut meluangkan masa berbual dengan para pesakit dan ahli keluarga mereka bagi mengetahui perkembangan kesihatan serta keperluan semasa yang dihadapi.

Beliau turut menyampaikan kata-kata semangat serta mendoakan agar semua pesakit diberikan kekuatan, dipermudahkan segala urusan, dikurniakan kesembuhan dan kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

Dalam pada itu, Chee Kadir menasihatkan para pesakit supaya terus bersabar, berfikiran positif dan mematuhi segala nasihat serta rawatan yang diberikan oleh pasukan perubatan bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar.

Lawatan berkenaan memperlihatkan komitmen berterusan wakil rakyat dalam mendekati masyarakat serta memastikan kebajikan penduduk Kabong sentiasa diberi perhatian, khususnya mereka yang memerlukan sokongan ketika berdepan ujian kesihatan.

Oleh Adi Safarman