Ular sawa batik 1.5 meter ditangkap APM dalam reban ayam di Kampung Hulu Spaoh

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA APM Daerah Spaoh berjaya menangkap seekor ular sawa batik sepanjang kira-kira 1.5 meter yang ditemui di dalam sebuah reban ayam di Kampung Hulu Spaoh, hari ini. Foto APM Spaoh

SPAOH: Tindakan pantas Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Spaoh berjaya menangkap seekor ular sawa batik sepanjang kira-kira 1.5 meter yang ditemui di dalam sebuah reban ayam di Kampung Hulu Spaoh, hari ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong, Kapten Mohammad Noor Ini berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 11.28 pagi memaklumkan mengenai kehadiran seekor ular di reban ayam milik jiran pengadu sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.

Beliau berkata, seramai empat anggota Skuad Bravo APM Spaoh bergegas ke lokasi sejurus menerima laporan dan tiba dalam tempoh hanya beberapa minit bagi menjalankan operasi menangkap reptilia berkenaan.

Menurutnya, setibanya di lokasi, anggota mendapati seekor ular sawa batik sepanjang kira-kira 1.5 meter berada di dalam reban ayam, sekali gus berpotensi mengancam ternakan dan keselamatan penduduk.

Katanya, operasi menangkap ular itu dilakukan menggunakan peralatan khas termasuk penyepit ular, penjerut ular, cangkuk dan kotak penyimpanan ular bagi memastikan haiwan tersebut dapat dikawal dengan selamat.

Beliau berkata, ular berkenaan berjaya ditangkap menggunakan teknik menyepit tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku sepanjang operasi dijalankan.

Operasi itu melibatkan empat anggota iaitu Sarjan Hasla Deli, Lans Koperal Muhammad Syaffiqen Musa, Lans Koperal Johnycal David Achang @ Dabit dan Lans Koperal Norizan Mohd Zini.

Kapten Mohammad Noor turut menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya terserempak dengan ular atau hidupan liar berbahaya, sebaliknya segera menghubungi pihak berkuasa bagi mengelakkan risiko kecederaan.

Beliau berkata, tindakan segera masyarakat melaporkan kejadian seperti itu amat penting supaya operasi dapat dilaksanakan dengan cepat dan selamat.

Operasi yang bermula sekitar 11.30 pagi itu selesai sepenuhnya pada 11.47 pagi selepas ular berjaya diamankan dan keadaan di lokasi disahkan selamat.

Oleh Adi Safarman