PUTRAJAYA: Pelaksanaan pengeluaran Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) versi baharu kini memasuki fasa peluasan ke Sabah dan Sarawak apabila Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memulakan pengeluarannya secara berperingkat bermula hari ini.
JIM menerusi hantaran di laman Facebook rasmi agensi itu memaklumkan pelaksanaan itu melibatkan pejabat pengeluar pasport di kedua-dua negeri menerusi dua fasa, iaitu Fasa 6 yang bermula hari ini dan Fasa 7 bermula 3 Ogos.
“Bagi Fasa 6, pejabat yang terlibat ialah Bintulu, Sri Aman, Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuching, UTC Miri, UTC Sibu, UTC Kota Kinabalu, UTC Tawau dan UTC Keningau.
“Pelaksanaan Fasa 7 pula melibatkan pejabat di Kuching, Lawas, Limbang, Kota Kinabalu, Sandakan, Lapangan Terbang Antarabangsa (LTA) Kota Kinabalu, Lahad Datu dan UTC Labuan,” menurut kenyataan itu.
JIM memaklumkan hanya pejabat jabatan yang disenaraikan akan memulakan pelaksanaan PMA versi baharu mengikut tarikh yang ditetapkan.
Sehubungan dengan itu, orang ramai disaran menyemak senarai pejabat yang terlibat serta merancang urusan permohonan atau pembaharuan pasport lebih awal sebelum hadir ke pejabat yang telah memulakan pelaksanaan PMA versi baharu.
“Tidak perlu tergesa-gesa kerana pasport sedia ada masih boleh digunakan sehingga enam bulan sebelum tarikh tamat tempoh,” menurut kenyataan itu.
Pada 30 Jun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan PMA versi baharu itu, yang dilengkapi dengan 94 ciri keselamatan.
Warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas mempunyai pilihan memohon pasport baharu itu mulai 1 Julai dengan tempoh sah laku lima atau 10 tahun mengikut keperluan pemohon.
Pengeluaran PMA versi baharu itu mula dilaksanakan menerusi fasa pertama membabitkan 14 pejabat pengeluar pasport yang mempunyai kapasiti permohonan tinggi sebelum diperluaskan ke 71 pejabat pengeluar pasport di seluruh negara dan dijangka selesai pada awal Ogos. – Bernama





